Jakim Bantah, Gesa Interpol Tarik Balik Waran Tangkap Yusuf Qaradawi


KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyifatkan tuduhan kononnya ulama tersohor, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi terlibat dengan militan dan menyeru kepada keganasan sebagai tidak berasas.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mutapha berkata, tindakan undang-undang melibatkan waran tangkap (Notis Merah) oleh polis antarabangsa (Interpol) ke atas ulama itu merupakan satu penganiayaan.

"Perkara ini bukan sahaja akan mengundang sensitiviti umat Islam malah dikhuatiri akan menyebabkan kemarahan umat Islam seluruh dunia. Beliau merupakan seorang tokoh ulama kontemporari yang disegani dan dijadikan rujukan semasa bagi masyarakat Islam.

"Kami juga berpandangan tuduhan yang melabelkan beliau sebagai militan dan menyeru kepada keganasan adalah tidak berasas. 

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mutapha
"Buktinya, pemimpin ulama sedunia berkenaan telah menyatakan pendirian beliau terhadap deklarasi kekhalifahan Islam oleh kumpulan militan ISIS pada 5 Julai 2014 yang lalu adalah melanggar Syariah malah setiap pandangan dan fatwa beliau mempunyai asas yang tidak boleh dipertikai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Othman berkata, semua pihak seharusnya mempertimbangkan ketokohan Yusuf Al-Qaradawi sebagai seorang tokoh ulama yang disegani dunia.

Katanya, ulama itu seorang tokoh ilmuan dan memberi sumbangan yang cukup besar dalam perundangan Islam, penulisan dan kefatwaan beliau yang bersifat kontemporari dan sentiasa menjadi rujukan dan pengikut yang ramai.

Malah, katanya, Malaysia pernah menobatkan ulama itu sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2009 berdasarkan kriteria yang jelas antaranya keilmuan beliau, kesederhanaan yang beliau praktiskan selari dengan ajaran Islam termasuklah menghormati sistem demokrasi yang harmoni.

“Sumbangan besar beliau dalam memartabatkan Islam di peringkat global yang diiktiraf oleh pelbagai pihak. Kami mencadangkan agar pihak berkenaan menarik balik Notis Merah yang dikeluarkan terhadap Yusuf Al-Qaradawi,” katanya. -Bernama