Kalimah "Allah": Azmin Pertahan Guan Eng

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mempertahankan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendakwa kalimah ALLAH boleh digunakan oleh semua kaum kerana itu adalah pendirian rasmi PR.

Azmin berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut bersetuju bahawa tiada sekatan untuk bukan Islam menggunakan kalimah ALLAH.

“Ini adalah pendirian PR. Presiden Pas sendiri pun pernah kata, sepatutnya tiada sekatan yang perlu dibuat ke atas bukan Islam untuk menggunakan kalimah ALLAH,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Cek Saguhati kepada Pembeli Projek Terbengkalai Taman Bukit Impian (U10), di Hotel de Palma, semalam.

Kelmarin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kenyataan Guan Eng dan mendakwa bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah ALLAH di Pulau Pinang.

Anwar dilaporkan sebagai berkata, sarjana terkemuka Islam, termasuk Dr Sheikh Yusof Qardawi sudah menyatakan keterbukaan mereka terhadap penggunaan kalimah itu di kalangan bukan Islam.

Sementara itu Azmin berkata, apa yang Guan Eng kata itu benar dan ia selaras dengan pendirian yang dibuat oleh Majlis Pimpinan PR.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa ketetapan sedemikian tidak diguna pakai di Selangor, sebagaimana yang dilakukan Guan Eng di Pulau Pinang. -Sinar Harian