Kawal Harga: Operasi Sepanjang Masa, Tidak Bermusim - Ahmad Bashah

KUALA LUMPUR - Operasi pemantauan dan kawalan harga oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diadakan sepanjang masa, bukan hanya ketika musim perayaan, kata Timbalan Menteri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata pemantauan sepanjang masa itu dilakukan melalui Ops Harga KPDNKK, yang bukan sahaja untuk mengawal harga barang tetapi turut mengambil tindakan sewajarnya kepada individu dan premis yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati.

"Penguatkuasaan kita ada dua, dari segi tindakan dan juga pemeriksaan. Pertama dalam Ops Harga akan berlaku sepanjang masa tanpa ada musim dan kedua ialah dari segi penguatkuasaan semasa musim perayaan," katanya menjawab soalan Sentor Datuk Mohd Salim Sharif pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini .

Ahmad Bashah berkata, KPDNKK menjalankan pemeriksaan ke atas 1,865,039 premis perniagaan, menerusi Ops Harga yang dijalankan bermula Januari hingga semalam.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, KPDNKK merekodkan 5,840 kes, 20 amaran, 93 notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.

"Keseluruhan nilai rampasan yang kita buat dalam tempoh tersebut ialah sebanyak M1,210,321.49 dan RM319,730 nilai kompaun dikutip," katanya.

Selain itu, bagi mengawal harga ayam yang merupakan antara makanan utama di negara ini, Ahmad Bashah berkata KPDNKK mengambil beberapa langkah antaranya mengadakan perjumpaan dengan pengeluar ayam seperti Persekutuan Persatuan Penternak-Penternak Malaysia untuk berbincang mengenai harga ayam yang munasabah dan bekalan ayam yang mencukupi.      

Katanya kementerian juga melaksanakan kawalan harga secara perundangan melalui Skim Kawalan Harga Musim Perayaan untuk menyekat kenaikan harga barang yang tidak munasabah kerana permintaan yang tinggi.

"Kementerian turut mengadakan perbincangan dengan kementerian dan agensi yang berkaitan dalam industri pengeluaran dan pemasaran ayam iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar," katanya. -Bernama