Seekor orangutan ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Borneo
dengan 40 kesan tembakan senapang angin pada tubuhnya, dedah pertubuhan
perlindungan haiwan, Borneo Orangutan Survival Foundation.
Orangutan betina itu dikatakan ditemui rabu lalu dalam keadaan
kritikal sebelum mati dalam ladang kelapa sawit yang terletak di
Kalimantan Tengah, membuktikan bahawa perbuatan membunuh spesis terancam
ini masih berterusan.
Orangutan merupakan spesis terancam apabila bilangannya berkurang
secara mendadak ekoran kegiatan penebangan hutan bagi membuka ladang
kelapa sawit dan tanaman kertas yang berleluasa.
“Keputusan x-ray menunjukkan terdapat 10 peluru pada kepala, 8 di
kaki kiri dan pelvis, 18 pada kaki kanan dan pelvis serta 6 lagi di
bahagian dada dan tangan kanan,” dedah pertubuhan tersebut dalam satu
kenyataan akhbar.
Difahamkan, bahagian kaki kanan sebelah atas haiwan primat tersebut
turut didapati patah dan terdapat luka berulat padanya selain badan yang
kurus kering kerana tidak makan dalam tempoh lama.
Orangutan itu dipercayai diperlakukan dengan kejam tiga hari sebelum ia ditemui.
Menerusi pendedahan ini pertubuhan tersebut berharap komitmen dan
tindakan tegas diambil baik oleh pihak kerajaan mahu pun sektor swasta
untuk melindungi spesis orangutan sebelum ia terus pupus. -AFP