PETALING JAYA – Kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang bahawa ada
perkara yang tidak berjalan lancar dalam Pakatan Rakyat (PR) perlu
ditanyakan kepada PAS,” kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Kenyataan tersebut adalah lebih baik sekiranya ditanyakan sendiri
kepada PAS, kerana PKR dan DAP tidak mempunyai sebarang masalah
komunikasi. Namun komunikasi dengan Presiden PAS mungkin boleh
diperbaiki,” kata Dr Wan Azizah pada sidang media di ibu pejabat PKR di
sini pada Rabu.
Beliau bagaimanapun mengakui pimpinan tertinggi PR perlu mengadakan pertemuan dengan lebih kerap.
“Saya fikir ini salah satu cara agar PR mengadakan mesyuarat lebih
kerap. Kita perlu konsensus dan kerjasama serta perlu berkongsi prinsip
yang sama, ini akan membolehkan kita bersaing dengan lebih baik dengan
Barisan Nasional. Jika kita tidak bersatu, kita tidak boleh mendekati
pengundi dengan lebih baik,” katanya.
Dalam entri terbaru di blognya pada Isnin, Lim berkata mesyuarat
perlu diadakan lebih kerap untuk memperkukuhkan polisi bersama dan
prinsip kerjasama mereka.
“Jika anda tanya saya sama ada Pakatan Rakyat mampu bertahan untuk
bersaing dalam Pilihan Raya Umum ke-14, saya tidak mempunyai jawapan
kerana saya tidak tahu,” katanya.
Lim berkata kerangka polisi dan prinsip kerjasama PR merupakan kunci yang menyelamatkan parti campuran itu. -mStar