Kerajaan Tegas Larang Guna Buruh Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan membenarkan sebarang penggunaan buruh kanak-kanak atau buruh paksa dalam industri minyak sawit Malaysia.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata demikian sebagai menjawab dakwaan penggunaan buruh kanak-kanak dan buruh paksa dalam industri sawit negara oleh laporan Jabatan Buruh AS (US DOL) yang bertarikh 1 Disember.

Kementerian juga menegaskan bahawa Malaysia mematuhi lebih 60 undang-undang dan peraturan yang termasuk kriteria bagi amalan buruh, manakala industri itu sendiri mengiktiraf kepentingan pekerja dan berusaha keras untuk memastikan kebajikan mereka terjamin.

"Kerajaan tidak membenarkan sebarang perbuatan penggunaan buruh paksa atau buruh kanak-kanak dan memandang serius dakwaan serta dapatan dalam laporan US DOL itu.

"Sebagai ahli Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Malaysia juga menyokong konvensyennya berkaitan buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

"Malaysia juga telah menggubal Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 untuk menyediakan peraturan bagi melindungi kanak-kanak dan orang muda," kata kementerian itu.

Bagaimanapun, ia berkata isu buruh dalam perladangan sawit akan terus dipantau dan tindakan yang sewajarnya akan diambil bagi menanganinya kerana industri itu merupakan komponen utama dalam sektor pertanian dan merupakan penyumbang penting hasil eksport.

Bermula Januari tahun depan, Malaysia akan melaksanakan skim persijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) bagi menyokong pembangunan lestari industri itu.

Di bawah MSPO, kriteria bagi pensijilan termasuklah pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan buruh, kesihatan, keselamatan dan keadaan pekerjaan, kata kementerian itu. - Bernama