TOKYO – Ratusan ribu produk makanan beku dingin pasta sebuah jenama
ternama terpaksa ditarik balik dari pasar raya seluruh Jepun hari ini
hanya kerana penemuan seekor lipas di dalam salah satu paket keluaran
syarikat terkenal tempatan, Nissin Frozen Foods.
Jurucakap Nissin Food Holdings berkata, syarikat perintis mi segera
popular itu kini menjalankan siasatan terperinci berikutan dakwaan
seorang pelanggan yang terserempak benda asing dipercayai salah satu
bahagian lipas di dalam bungkusan keluarannya.
Meskipun belum lagi dapat dipastikan kesahihan kelibat serangga itu,
syarikat produk tradisional mi ramen Jepun tersebut yang diasaskan pada
1948 bertindak pantas menarik balik kira-kira 750,000 paket yang telah
dijual semua pasar raya dari seluruh Jepun.
“Kami menggunakan sayur-sayuran beku dalam membuat produk makanan ini
dan lipas itu dipercayai mungkin tersangkut pada salah satu celah sayur
tersebut sebelum diproses oleh mesin bahagian pengeluaran,” kata
seorang jurucakap dalam satu kenyataan media.
Mi segera ramen tradisional keluaran Nissin Food amat popular dalam kalangan rakyat Jepun malah turut dieksport ke banyak negara di seluruh dunia. |
Syarikat Nissin yang berpusat di Osaka kini mempunyai lebih 7,500
pekerja dengan kilang di Brazil, Hong Kong, Thailand, India, Jerman,
China dan Mexico bagaimanapun enggan mendedahkan dari sumber mana
sayur-sayuran mereka diperoleh untuk diproses.
Namun, untuk pasaran Jepun, produk dihasilkan di kilang Nissin di
wilayah Shizuoka manakala kilang cawangan di luar negara untuk pasaran
antarabangsa antaranya Australia, Filipina, Taiwan, Kanada, United
Kingdom, Sweden, Singapura dan Malaysia.
Jepun terkenal dengan rekod terbaik keselamatan makanan pengguna
malah tahap standard amat ketat menyebabkan industri makanan tempatan
amat mahal bagi menyerap kos kawalan kualiti sekali gus menjadikan
produk dijual pada harga tinggi. – Agensi