Kes Doping Chong Wei: Peguam BAM Minta Tunda

Peguam lantikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mengendalikan kes kegagalan ujian doping membabitkan pemain badminton nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei dikhabarkan telah meminta proses pendengaran kes berkenaan ditunda.

Menurut sumber, peguam BAM itu telah menghantar permohonan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung penundaan kes tersebut ke tarikh lain.

Permohonan itu dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Peguam BAM meminta kes itu ditunda memandangkan mereka memerlukan lebih masa untuk menyediakan butiran kes berkenaan secara lebih terperinci lagi.

Sebelum itu, badan pengurusan sukan badminton di Malaysia itu juga dimaklumkan bahawa tarikh pendengaran kes berkenaan dijadualkan pada 8 Disember ini di Amsterdam, Belanda.

Ketika ini, pemain nombor satu dunia itu digantung sementara oleh BWF selepas ujian doping mendapati beliau positif penggunaan bahan terlarang, jenis ‘dexamethasone’ ketika beraksi mewakili negara dalam Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark, pada Ogos lepas. -KedahNews.com