Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan
memfailkan saman ke atas bekas pemain beregu negara Razif Sidek ekoran
kenyataan akhbar Razif yang mendakwa Chong Wei sudah pun menggunakan
bahan terlarang sejak sekian lama.
Razif pada 11 November lepas membuat kenyataan kepada akhar Kosmo
menyebut beberapa pegawai atasan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tahu
tentang perbuatan Chong Wei yang menggunakan bahan terlarang.
Beliau mendakwa para pegawai itu terpaksa mengunci mulut ekoran
status Chong Wei yang merupakan seorang jaguh dunia, memetik laporan The
Malay Mail hari ini.
Selain itu, Razif juga mendakwa Chong Wei turut melantik seorang
doktor asing untuk memberikannya kemudahan menggunakan bahan itu.
“Peguam saya sudah menghantar surat kepada Razif beberapa
hari lalu dan kes ini akan diselesaikan di mahkamah. Dia (Razif) ada
menghubungi saya untuk meminta maaf selepas menerima surat itu, tetapi
apa yang berlaku sudah berlaku,” kata Chong Wei.
Menurut beliau, sejak berita itu didedahkan beliau cuba menghubungi Razif beberapa kali namun gagal.
“Saya tidak boleh membiarkan sahaja perkara ini kerana ia memalukan saya.
“Sebagai seorang bekas pemain kebangsaan, saya pasti dia
lebih arif berbanding membuat tuduhan palsu kepada saya, khususnya dalam
saat begitu menduga ini, dia bukan sahaja mengguris hati saya tetapi
hati seluruh rakyat Malaysia dengan komen itu,” katanya.
Chong Wei kemudian meminta wartawan cuba menghubungi Razif dan lihat apa pula reaksinya kali ini.
Ketika ini, pemain yang memenangi dua pingat emas Olimpik itu sedang
digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana gagal
ujian doping ketika menyertai Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark
Ogos lepas.
Ujian air kencing Chong Wei mendapati positif mengandungi
‘Dexamethasone’ sejenis ubat penahan sakit yang dilarang penggunaannya
dalam sukan antarabangsa.
Semalam, laporan berkaitan peguam yang dilantik
oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah memohon kepada BWF untuk
menunda prosiding pendengaran kes Chong Wei yang dijadualkan pada 8
Disember depan.
Penangguhan itu bagi membolehkan peguam berkenaan membuat persediaan kes berkenaan dengan lebih terperinci.
Chong Wei berhadapan dengan hukuman digantung daripada menyertai
kejohanan selama maksimum dua tahun dan mungkin menerima hukuman lebih
ringan ekoran prestasi cemerlangnya melepasi 124 ujian doping dalam masa
15 tahun lepas.