Baru-baru ini, rakyat Malaysia digemparkan dengan kes samun seorang gadis
jelita, Shafiqa Lah, 22, yang ditoreh mukanya dan hampir dirogol oleh
perompak di Kota Bharu, Kelantan.
Insiden tersebut sekaligus menjadi topik hangat sama ada dalam media cetak
mahupun elektronik hingga rata-rata masyarakat umumnya menzahirkan rasa simpati kepada mangsa berikutan tindakan kejam penjenayah
tersebut.
Kes yang mencuri tumpuan ini, bagaimanapun muncul pula individu yang seolah cuba menjadi "hero" namun
tidak bertanggungjawab bertindak menyebarkan spekulasi dan gambar individu yang
dikatakan suspek dalam kes ini hinggakan pihak polis terpaksa mula memberi
amaran.
“Jangan buat spekulasi. Serahkan kepada polis dan biar kami menyiasat
habis-habisan,” tegas Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.
Mazlan berkata demikian mengulas tindakan pihak tertentu yang
menyebar gambar individu yang dikaitkan dengan kejadian samun dan toreh
muka mangsa berusia 22 tahun dalam kejadian di Wakaf Berangan, Pasir
Puteh, Ahad lalu.
Menurut Mazlan, kes itu masih lagi dalam siasatan dan setakat ini pihaknya masih belum mengenal pasti suspek.
“Selagi siasatan masih berlangsung, janganlah semua pihak membuat
spekulasi berhubung kes ini. Kita masih mengesan dua suspek terbabit dan
keterangan mangsa juga sudah diambil.” katanya.
Disamping itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil
untuk membantu dengan melaporkan kepada mana-mana balai polis terdekat.
Susulan insiden ini, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – KedahNews.com