Kes Tikam 2 Beranak Di Kuala Kedah: Suspek Telah Diberkas, Syabas #PDRM Kedah!

ALOR SETAR - Polis telah menahan seorang suspek kes tikam dan tetak dua beranak yang berlaku pada 18 Dis lalu di Taman Harapan, Kuala Kedah dekat sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Nashir Ya berkata suspek yang berusia awal 20-an itu ditahan di Kampung Telok Kechai, Kuala Kedah pukul 1.30 pagi.

"Hasil siasatan mendapati motif kejadian ialah cubaan merogol dan apabila mangsa melawan telah berlaku pergelutan sehingga menyebabkan kecederaan. 

"Semasa ditangkap, kita turut merampas sebilah pisau daripada suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 18 Dis lalu, Adriana Ahmad Kamil, 45, dan anaknya Amira Asshari, 22, cedera parah selepas ditikam dan ditetak dengan senjata tajam oleh seorang lelaki yang memasuki rumah mereka di Taman Harapan, Kuala Kedah.

Nashir berkata kedua-dua mangsa biasa melihat suspek kerana suspek tinggal di taman bersebelahan tetapi tidak mengenali dengan lebih rapat.

"Suspek ditahan reman bermula hari ini sehingga Sabtu depan," katanya. - Bernama