PENGGUNA siber di Malaysia sewajarnya berasa bersyukur kerana tanpa
disedari ramai pihak, Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU)
baru-baru ini meletakkan tahap keselamatan internet negara kita pada
tempat ketiga sebagai paling selamat di dunia.
Malaysia berkongsi kedudukan yang sama dengan Australia dan Oman
dalam senarai Indeks Keselamatan Siber Global (GCI) untuk sepanjang
tahun 2014 yang dikeluarkan semasa sambutan Hari Telekom Sedunia ITU di
Doha, Qatar dari 7 hingga 10 Disember lalu.
Sambutan tahunan itu yang dihadiri 3,500 peserta selain 205 pakar
telekomunikasi menerusi 51 sesi forum itu mengesahkan laman internet
Amerika Syarikat (AS) berada pada tempat pertama paling selamat di dunia
diikuti tempat kedua, jiran utaranya iaitu Kanada.
Kedudukan Malaysia malah lebih baik berbanding jirannya, Singapura
yang meskipun kadar penembusan internet republik pulau tersebut berjaya
mencecah hampir 100 peratus tetapi ia berada di tangga ke-6 bersama-sama
dengan Austria, Hungary, Israel dan Belanda.
Tahap keselamatan internet Singapura rupa-rupanya berada di belakang
negara-negara tempat ke-4 iaitu New Zealand dan Norway serta kumpulan
negara tempat ke-5 yang dikongsi bersama Brazil, Estonia, Jerman, India,
Jepun, Korea Selatan dan United Kingdom.
Di peringkat rantau Asia tenggara, Indonesia berada di tangga ke-13
disusuli pula Thailand (ke-15), Brunei dan Myanmar (ke-16), Filipina
(ke-17), Vietnam (ke-18), Kemboja (ke-25) dan Laos (ke-27) daripada
senarai indeks 193 buah negara dari serata dunia itu.
Tahap keselamatan siber sesebuah negara menurut standard ITU dinilai
berdasarkan kepada kriteria ukuran perundangan, keupayaan teknikal,
institusi penguatkuasaan, kapasiti pertahanan dan pembangunan kerjasama
antara pelbagai organisasi.
Justeru ITU meletakkan antaranya Turki dan Sweden (ke-7), Mesir dan
Perancis (ke-9), China dan Sudan (ke-14), Afrika Selatan (ke-16),
Switzerland (ke-17), Arab Saudi dan Bangladesh (ke-19), Serbia (ke-20),
Palestin (ke-24) serta Nepal (ke-25).
Indeks itu juga menyenaraikan tangga terakhir iaitu ke-29 meliputi
kumpulan negara paling teruk keselamatan siber: Republik Afrika Tengah,
Korea Utara, Equatorial Guinea, Honduras, Lesotho, Marshall Islands,
Namibia, Saint Vincent dan Timor Leste. – Agensi