Khazanah Kecewa Jentayu Tidak Profesional, Tangguh Mesyuarat

 
KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Bhd kecewa terhadap sikap 'tidak profesional' Jentayu Danaraksa Sdn Bhd dalam membentangkan cadangan pelan pelengkap untuk menyelamatkan Malaysia Airlines (MAS) yang bermasalah, dan menyifatkannya sebagai "cara menjalankan perniagaan yang sangat luar biasa dalam korporat Malaysia".

Menurut sumber yang sudah biasa dengan cara Khazanah menjalankan perniagaan, memberitahu Bernama, atas alasan ini dan sebab-sebab lain, ia memutuskan untuk menangguhkan tarikh mesyuarat yang telah dijadualkan pada Selasa antara kedua-dua pihak untuk membincangkan pelan terbabit.

"Khazanah sudah mengendalikan banyak cadangan lain secara peribadi dan secara teratur. Justeru, sesiapa yang mahu berurusan dengan Khazanah mesti berurusan secara peribadi dan sulit. Jika tidak mesyuarat akan ditangguhkan sehingga mereka belajar asas-asas profesionalisme.

"Kita boleh bayangkan Khazanah pastinya sangat kecewa kerana cadangan untuk membeli aset bernilai berbilion itu dibuka untuk perbincangan dalam forum terbuka seperti media sosial, kerana cabang pelaburan kerajaan itu berhak untuk menentukan bahawa perbincangan perniagaan mesti mengekalkan satu tahap kerahsiaan," kata sumber itu.

Mereka berkata Khazanah tegas untuk menetapkan proses yang betul dan telus, dan pembentangan cadangan perniagaan melalui media untuk mendapat publisiti merupakan perbuatan yang tidak boleh diterima dan bertentangan dengan asas kesopanan yang diharapkan daripada perjanjian perniagaan.

"Saya percaya ini adalah satu isu penting yang mendorong Khazanah menunda bertemu dengan Jentayu ke tarikh lain," kata sumber.

Sumber itu mempersoalkan motif Jentayu yang mengumumkan cadangannya untuk tatapan umum sehari sebelum mesyuarat dijadualkan.

"Ia menimbulkan persoalan sama ada ia bertujuan memainkan sentimen awam supaya cadangan itu tidak boleh ditolak oleh kerajaan berdasarkan tekanan orang ramai.

"Jika niat untuk mendapatkan sokongan orang ramai, maka ibu kepada segala penyusunan semula syarikat penerbangan negara kita, pasati merupakan usaha yang sia-sia kerana ia akan menjadi perniagaan biasa, dengan campur tangan pihak ketiga yang masih utuh

"Ini ternyata bertentangan dengan matlamat menyusun semula syarikat penerbangan negara untuk membolehkan MAS beroperasi sebagai sebuah entiti perniagaan tulen," kata sumber berkenaan.

Jentayu telah mengambil laluan yang tidak konvensional apabila ia membentangkan rancangannya sebagai pelengkap kepada 12 perkara pelan pemulihan MAS oleh Khazanah pada Isnin menerusi sidang akhbar, sehari sebelum syarikat itu dijadual membentangkan cadangan RM8.75 bilion.

Malah Jentayu memuat naik pelan ringkas lapan perkara di Facebook rasminya, serta laman Facebook Pengarah Urusannya, Feriz Omar.

Kunjungan ke laman web Khazanah memuatkan mengenai Kod Etika Perniagaan, yang memerlukan pihak-pihak yang berminat untuk memperoleh aset menahan diri daripada mendedahkan maklumat sulit atau kompetitif kepada mana-mana pihak yang tidak dibenarkan.

"Dan bagi kes Jentayu yang membentangkan pelan pengambilalihan kepada media, ia sudah pasti bertentangan dengan kod etika berkenaan," kata sumber itu.

Pada 28 Nov lepas, Khazanah berkata bahawa ia menerima tidak kurang daripada 28 cadangan perniagaan yang menyatakan minat untuk menyertai dalam pelan pelengkap lima tahun itu.

"Dalam hubungan ini, kami ingin menyatakan bahawa seperti yang ditetapkan oleh proses dan prosedur operasi Khazanah, hanya cadangan yang berdaya maju dinilai, dan jika mereka layak, akan dibentangkan kepada lembaga pengarah Khazanah, dan jika sesuai, disalurkan kepada pihak pengurusan dan lembaga pengarah syarikat yang beroperasi (dalam kes ini, MAS)," kata sumber.

Menurut seorang pegawai bank pelaburan yang sudah biasa dengan proses penjualan pelaburan Khazanah, ia merupakan pacuan proses, dan memetik penjualan Time Dotcom, Pos Malaysia dan Proton sebelum ini.

Setiap cadangan yang diterima, dianalisis daripada semua sudut, sama ada cadangan perniagaan, bagi memastikan kemampanan, dan kedudukan kewangan syarikat pemeroleh.

Prosesnya sangat teratur, langkah demi langkah yang dipatuhi sepenuhnya oleh Khazanah tanpa pengecualian. Mereka tegas dalam perkara ini. Dan dalam kes Jentayu, sejak mengumumkan rancangannya untuk melengkapkan rancangan Khazanah tiga bulan lepas, ia masih belum menyediakan sokongan kewangannya dan mengelak apabila ditanya mengenai pemberi dana, tetapi mahu Khazanah membuka pintu kepada cadangan Jentayu, kata sumber itu.

Mereka berkata Jentayu seolah-olah mahu 'pergi memancing', dan sambil bahawa syarikat itu menekan Khazanah untuk meluluskan pelan berkenaan supaya boleh digunakan sebagai 'tiket' untuk memujuk pemberi dana untuk menyertainya.

Pada sidang media pada 14 Nov, syarikat itu mengumumkan bahawa ia akan mengumumkan butiran pelabur yang akan menyediakan dana untuk mengambil alih aset strategik MAS dalam tempoh 10-14 hari, dan bahawa ia telah mengumpul sebuah konsortium kecil pembiaya dari Asia Pasifik.

"Apa yang mereka disediakan hanya rancangan semata-mata, tanpa sokongan kewangan, dan mana-mana institusi kewangan dan/atau cadangan penjual tidak akan menimbang pelan mereka, apatah lagi Khazanah," kata pegawai bank pelaburan itu.

"Nampaknya Jentayu mahu cadangannya diluluskan bagi menyelamatkan 6,000 pekerja, tanpa memberi penjelasan cara melakukannya. Adakah 6,000 pekerja ini perlu dilatih semula? Adalah usaha penyelamatan pekerjaan ini merupakan cadangan perniagaan yang cukup mantap untuk dipertimbangkan?" kata pegawai bank itu.

"Jentayu berkata ia akan menunjukkan sumber kewangannya kepada kita pada akhir bulan November. Kini sudah pertengahan Disember dan mereka masih membisu tentang pembiaya dan pelaburnya.

"Ia sesuatu kedudukan yang membingungkan bagi syarikat yang membuat tawaran sehingga RM8.75 bilion untuk menyelamat MAS tetapi terus berteka-teki dengan Khazanah," katanya.

Sumber itu berkata sukar untuk menerima pakai pendekatan holistik terhadap pelan Jentayu, terutama apabila syarikat itu tiba-tiba membatalkan cadangannya untuk mengambil alih MAS Engineering Sdn Bhd dan Firefly Sdn Bhd, malah mengemukakan pelan rombakan untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan baharu yang dikenali sebagai Fly JD.

"Kita tidak tahu apa yang akan ditambah atau dikeluarkan oleh Jentayu daripada pelan cadangannya. Walaupun Khazanah akan meneliti setiap cadangan yang berdaya maju, kita pasti tidak mahu menilai cadangan yang 'berpusing-pusing'," kata sumber itu.- BERNAMA