Kronologi Kehilangan Pesawat #AirAsiaQZ8501

KUALA LUMPUR - Berikut kronologi kehilangan pesawat AirAsia QZ8501 yang dimaklumkan pada sidang akhbar di pejabat Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta hari ini sebagaimana dilaporkan portal berita Kompas.com.

Waktunya mengikut waktu Indonesia bahagian Barat (WIB) iaitu satu jam lewat dari waktu Malaysia.
  
Butiran kronologi perkembangan di Malaysia berkaitan kejadian itu pula mengikut waktu Malaysia.

- 0536 (WIB): Pesawat berlepas dari Surabaya menuju Singapura dengan ketinggian 32,000 kaki mengikuti laluan biasa Surabaya-Singapura, M635.

- 0612 (WIB): Pesawat berhubung kali terakhir dengan menara Kawalan Trafik Udara (ATC) Jakarta dan juruterbang memohon untuk membelok ke kiri dan meningkatkan ketinggian kepada 38,000 kaki. Permintaan juruterbang dibenarkan oleh pihak ATC.

- 0616 (WIB): Pesawat masih dapat dikesan di skrin radar

- 0617 (WIB): Pesawat hanya tinggal isyarat dalam radar ATC

- 0618 (WIB): Pesawat hilang dari radar namun hanya ada data jadual penerbangan yang masih tercatat di radar.

- 0708 (WIB): Pesawat dinyatakan INCERFA, iaitu tahap awal putus hubungan. Pihak Ketua Pengarah Perhubungan menghubungi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas).

- 0728 (WIB): Pesawat dinyatakan ALERFA, iaitu tahap berikut dalam menyatakan pesawat putus hubungan.

- 0755 (WIB): pesawat dinyatakan DETRESFA atau hilang secara rasmi.

- 1141 (waktu Malaysia): AirAsia dalam akaun twitter dan facebook rasminya mengumumkan mengenai pesawat berkenaan yang terputus hubungan dengan ATC pada 0724 (waktu Indonesia)

- 1441 (waktu Malaysia): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang akhbar di Kuala Lipis, Pahang berkata Malaysia sedia membantu dalam operasi mencari dan menyelamat

- 1556 (waktu Malaysia): Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada sidang akhbar di Sepang berkata Malaysia telah mengerahkan tiga buah kapal dan sebuah pesawat C130 Hercules untuk membantu dalam pasukan mencari dan menyelamat pesawat AirAsia itu, yang diterajui pihak berkuasa Indonesia.

- 1743 (WIB): Setakat pukul 1700 pasukan pencarian SAR Indonesia belum dapat mengesan isyarat pesawat AirAsia QZ8501.

- 1840 (Waktu Malaysia): Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur meminta anggota keluarga dan waris penumpang bersabar dan terus berdoa operasi SAR dapat diselesaikan secepat mungkin.

- 1900 (WIB): Ketua Basarnas, Soelistyo mengumumkan operasi SAR pesawat AirAsia QZ8501 dihentikan sementara kerana cuaca gelap dan akan disambung semula pagi esok.

Pesawat AirAsia jenis Airbus A320-200 dengan nombor pendaftaran PK-AXC itu membawa 162 orang penumpang yang terdiri daripada 138 orang dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi, dua orang juruterbang dan empat anak kapal.

Juruterbang bertugas ialah Kapten Irianto dan pegawai penerbangan, Remi Emmanuel Plesel. 

Warganegara penumpang pesawat ialah: 155 dari Indonesia, tiga dari Korea Selatan, temasuk seorang bayi, satu dari Malaysia, satu dari Singapura, satu dari Perancis dan satu dari United Kingdom. -BERNAMA