Kereta api itu dilaporkan berlepas dari Yiwu, sebuah hab borong
barangan pengguna terbesar timur China di wilayah Zhejiang; pada 18
November lalu sebelum menempuh perjalanan lebih 13,000 kilometer dalam
masa 21 hari dengan melintasi enam buah negara.
Ia sekali gus memecah rekod perjalanan kereta api paling jauh di
dunia yang selama ini dipegang Trans-Siberia Railway meliputi jarak
9,289 kilometer menghubungkan ibu kota Rusia, Moscow dengan Vladivostok
di penghujung timur jauh Siberia sejak 1916.
Menteri Kerja Raya Sepanyol, Ana Pastor berkata, laluan Yiwu-Madrid
itu 10 hari lebih cepat berbanding pengangkutan barang melalui kapal
laut malah paling murah dari segi kos selain amat mesra alam dan buat
permulaan, sebanyak 40 buah gerabak digunakan.
Perjalanan sulung merentasi Kazakhstan, Rusia, Belarus, Poland,
Jerman dan Perancis itu membawa bertan-tan barang permainan kanak-kanan
dan peralatan pemotong manakala perjalanan pulang membawa bekalan
minuman wain, minyak zaitun dan daging babi.
Kereta api barang pertama dari China tiba di stesen utama Madrid dalam usaha mewujudkan semula ‘laluan sutera’ baharu antara Timur dan Barat. |
Gabenor wilayah Zhejiang, Li Qiang berkata, pelaksanaan tren barang
terkini itu antara strategi memajukan ‘laluan sutera’ baharu dan
kebetulan Madrid sudah dikenali sebagai hab pengedaran barangan
antarabangsa untuk masuk ke benua Afrika dan Amerika Latin.
China sebelum ini sudah pun ada perkhidmatan kereta api barang terus
ke Jerman melibatkan laluan antara bandar raya Chogqing dengan Duisburg,
hab pengangkutan komersial Eropah dan Beijing dengan Hamburg, kota raya
kedua terbesar Jerman. – Agensi