DEMI kebaikan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan dirinya sendiri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad harus berhenti membuat perkara yang sukar untuk
penggantinya; kini disandang Datuk Seri Najib Tun Razak, tulis seorang
kolumnis akhbar berpengaruh Hong Kong.
Dalan artikel terbaharu bertajuk ‘Masa Untuk Bekas Perdana Menteri Mahathir Duduk Berehat’ yang disiarkan South China Morning Post semalam, Sholto Byrnes menulis, negarawan Malaysia itu cuba membuat risiko ke atas legasi hebat dirinya sendiri.
Hakikatnya, zaman Mahathir sudah
berlalu, namun kritikan mantan pemimpin berusia 89 tahun itu terhadap
kepimpinan sekarang mungkin menjejaskan imej zaman gemilang beliau yang
dikagumi sehingga kini kepada perasaan bercampur baur antara suka dan
benci.
Tulis Byrnes yang juga editor rencana akhbar ternama Britain, Sunday Telegraph, Evening Standard, Independent dan New Statesman,
ramai pengkritik Mahathir mulai keliru dengan gaya pandangan skeptikal
negarawan itu ke atas corak pentadbiran Najib sebagai aneh.
“Beliau telah membantu menumbangkan
satu Perdana Menteri lemah pengganti beliau sendiri, Tun Abdullah Ahmad
Badawi kerana dianggap tidak berkesan tetapi masa ini, Mahathir nampak
melakukan sama mensabotaj penggantinya pula, Najib,” katanya.
Walhal zaman kini adalah perkara lain
sama sekali kerana Najib adalah sederhana pragmatik yang telah memenangi
pujian antarabangsa sebagai pemandu ekonomi terbaik sehingga pelaburan
langsung asing di Malaysia adalah yang tertinggi dalam sejarah.
Ini ujar Byrnes, meletakkan Malaysia
berada di landasan betul mencapai status negara maju menjelang 2020 –
selain inisiatif diplomatik Najib seperti membantu perjanjian damai
bersejarah Bangsamoro di Filipina dan penyelesaian politik kepada
tragedi MH17.
Ironi bagi Mahathir, ini tidak
mencukupi dan setelah menarik balik sokongannya daripada Najib pada Ogos
lalu, beliau cuba membarakan pemberontakan terhadap Najib bulan lalu
ketika Perhimpunan Agung UMNO, parti utama BN yang memerintah gabungan
itu.
“Tangan Mahathir dipercayai di sebalik
laporan polis difailkan bulan ini berkaitan 1MDB, dana pelaburan yang
rapat dengan Perdana Menteri; dan juga serangan biadap kumpulan pejuang
hak Melayu Perkasa, di mana Mahathir adalah penasihat,” kata Byrnes.
Mahathir memberi amaran kepada Najib
bahawa beliau berisiko hilang jawatan dan kerajaan jika tidak
mengurangkan perjalanan di luar negara tetapi waktu sama, kritikan itu
berjaya ‘merosakkan’ UMNO, parti yang pernah diterajui Mahathir selama
22 tahun.
Hanya kerana marahkan Najb, BN yang
sudah memenangi setiap pilihan raya umum sejak kemerdekaan pada 1957
mungkin hilang kuasa kerana komplot percaturan Mahathir tetapi ia juga
akan menjadi petunjuk bencana kepada kehidupan legasi politik beliau
sendiri.
“Saya menulis sebagai seorang yang mengagumi Mahathir, salah seorang
daripada segelintir wartawan Barat, bahkan pernah bayangkan untuk satu
temu bual dengan beliau mengisahkan zaman sukar politik beliau awal
1970-an selepas dipecat UMNO,” kata Byrnes.
Namun demi untuk kebaikan UMNO, BN dan
juga dirinya sendiri – ia sudah tentu masa sesuai untuk Mahathir
mengambil tempat duduk belakang, berehat… sebaliknya biarkan kisah
legasi beliau menjadi cerita kejayaan di dalam dan di peringkat
antarabangsa.
“Jika Mahathir berterusan begini, saya
bimbang ia akan menjadi aib jika beliau diingati lebih kerana sifatnya
mengacau perbezaan pendapat di belakang tabir pemerintahan hanya kerana
penggantinya, Najib gagal memberi perhatian cukup atas nasihatnya,”
akhiri Byrnes.