Jika sebelum ini, pengarah yang juga pelakon, Ahmad Idham memuat naik status di laman Twitternya mengkritik isu yang dimainkan dalam Lelaki Harapan Dunia, kini Khir Rahman pula bertindak sedemikian. Apa cerita?
Kalau Ahmad Idham mengkritik naratif yang didakwa memperlekehkan masyarakat Melayu, Khir pula kesal apabila penceritaan dalam filem ini dikatakan menyentuh sensitiviti agama Islam.
Tulis pengarah filem ‘Anu Dalam Botol’ itu di laman sosialnya, ‘Apabila seekor unta yang dijadikan qurban diperlihatkan sebagai jenis seksaan terhadap haiwan. Malah darahnya terpercik dan terpancut kuat dan tinggi ke arah orang-orang Melayu yang hadir untuk menyaksikan acara qurban tersebut.’
Terang Khir lagi, dia boleh menerima andai filem tersebut ingin mengkritik kaum Melayu, namun tidak kepada agama Islam.
Bukan itu sahaja, Khir juga berkata, filem satira komedi tersebut menggunakan elemen lawak sebagai senjata untuk berselindung di sebalik interteks dan subteks yang mengandungi elemen-elemen sinikal itu.
Sempat menasihati pihak di luar sana untuk membela agama sendiri dari diusik, Khir walau bagaimanapun tidak melarang mana-mana individu dari menonton filem tersebut di panggung wayang.
Beberapa ketika kemudian, Khir sekali lagi memuat naik status memohon maaf kepada pihak yang terasa dengan ujarannya melalui status sebelum itu.
Bukan hendak menyebelahi mana-mana pihak namun sebetulnya, isu sensitif seperti agama dan perkauman tidak sepatutnya menjadi subjek yang dikritik dalam apa jua bahan tayangan.
Yelah, kita hidup dalam negara yang berbilang kaum dan pegangan, maka haruslah saling hormat-menghormati, bukan?
Tahniah kepada Khir Rahman atas rasa tanggungjawabnya dan teguran berhemah sebagai pengarah filem beragama Islam yang sensitif atas sebarang usaha yang tidak wajar terhadap agama Allah itu dalam industri hiburan tanahair. -KedahNews.com
Sumber asal: Mynewshub.cc