(Gambar Hiasan) |
ALOR SETAR – Seorang lelaki dilaporkan kempunan kerana tidak sempat mendapat khidmat urut badan dari gadis warga
asing di sebuah sebuah premis di sekitar Mergong, setelah ditahan
sepasukan anggota penguatkuasa imigresen.
Penolong Pengarah (Ketua Bahagian Penguatkuasa), Mohd Shahrir Khalil
berkata, lelaki warga Bangladesh yang cuba mendapat khidmat urut badan itu adalah antara individu yang ditahan dalam
serbuan kira-kira 9 malam, kelmarin.
“Kira-kira 20 anggota imigresen melakukan serbuan dalam ‘Ops Sayang’ ke atas premis berkenaan berdasarkan risikan dan intipan.
“Kita membuat serbuan ke atas tiga premis rumah urut berkenaan kerana
disyaki menggaji wanita warga asing sebagai tukang urut,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Menurut Mohd Shahrir, seramai 21 wanita warganegara Thailand yang memegang
pas sosial berusia antara 24 hingga 46 tahun turut ditahan ketika
pemeriksaan itu dilakukan.
“Ketika serbuan, ada warga asing cuba melarikan diri dan bersembunyi
bagi mengelakkan dicekup, namun akhirnya ditahan hasil tindakan pantas
anggota,” katanya lagi.
Selain itu, operasi berkenaan difahamkan turut menahan seorang wanita warga tempatan
dipercayai majikan, selain memeriksa dan mengambil keterangan beberapa pelanggan
tempatan yang berada di lokasi serbuan.
Bagaimanapun Mohd Shahrir menjelaskan bahawa pihaknya belum dapat mengenal pasti sama
ada wujud perkhidmatan lain ditawarkan yang mungkin berselindung di sebalik premis khidmat urut tersebut. -KedahNews.com