Letupan Bom Di Gurun: Isteri Anggota Tentera Hembus Nafas Terakhir... Al-Fatihah

GURUN: Pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof (merah) bersama pegawai dan anggota penyiasat meninjau lokasi kejadian letupan yang mengorbankan tiga nyawa dan menjejaskan lapan rumah yang berlaku Khamis lalu di Taman Ria Mesra II, di sini, semalam. - Foto BERNAMA
Isteri kepada Allahyarham Ayob Hashim, 34, anggota tentera yang terbunuh dalam letupan bom di Gurun, Kedah disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani pagi tadi.

Sharifah Azlina Hashim, 30, menghembuskan nafas terakhir di hospital itu selepas beberapa hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menurut Pemangku Ketua Polis Negeri Kedah Datuk Zakaria Yusof, ini menjadikan jumlah mangsa yang meninggal dunia akibat kejadian itu kepada empat orang.

“Mangsa telah meninggal dunia pada pukul 9.21 pagi tadi dan ini menjadikan jumlah kematian kepada empat orang,” katanya kepada pemberita Sungai Petani hari ini.

Beliau berkata satu pasukan khas telah diwujudkan di bawah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Nashir Ya bagi menyiasat punca kejadian berkenaan.

“Saya telah tubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat punca kejadian dan hari ini satu perjumpaan akan diadakan bersama pegawai tentera dari Kem Hobart, Gurun, bagi berbincang dan mengetahui jenis-jenis latihan yang dijalani Ayob,” katanya.

Menurutnya, beliau telah mengarahkan anggota polis untuk membersihkan kawasan kejadian semalam dan pihaknya masih menemui serpihan bom yang meletup.

“Kita akan teruskan siasatan dan ambil tindakan selanjutnya bagi menyiapkan kertas siasatan berkaitan kejadian ini,” katanya.

Letupan itu mengakibatkan seorang anggota tentera, Ayob Hassim, 34, dari Kem Hobart, Gurun; anak perempuannya berusia lapan tahun Hidayah Ayob; anak jirannya Afiq Lokman Mohd Sharizal, 5, maut, manakala jirannya Zuraida Mat Robete, 30, yang cedera berada dalam keadaan stabil.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, jenazah Sharifah Azlina akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat.