Ketika keretakan hubungan antara gabungan parti PAS, PKR dan DAP
terus dibincangkan, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau meragui
keutuhan Pakatan Rakyat sehingga pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ujarnya, ketidakpastian tersebut muncul setelah mereka tidak mengadakan mesyuarat selama setengah tahun.
Memetik kenyataannya dari sebuah portal pro-pembangkang:
“Jika kamu tanya sama ada ada saya boleh dengan pasti berkata Pakatan ketiga-tiga parti akan tetap ada untuk berjuang dalam pilihan raya umum ke-14, saya tidak dapat jawab kerana saya tidak tahu.
“Bukan lagi rahsia bahawa Pakatan tidak berjalan dengan baik, dan ini sebabnya kenapa Majlis Presiden Pakatan tidak dapat bermesyuarat lebih enam bulan untuk memastikan kerangka dasar bersama dan prinsip disepakati.”
Keretakan
hubungan politik dalam pakatan tidak dapat disembunyikan lagi setelah
anaknya yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mengkritik
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang gagal menghadiri
mesyuarat gabungan itu.
Ia dikatakan berpunca kerana ketidaksetujuan Hadi terhadap tindakan
‘Kajang Move’ sehinggalah pengguguran mantan Menteri Besar Selangor, Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim dari jawatannya.