Luahan Hati Seorang Mualaf Di Malaysia...

SEBELUM ini kami pernah menyiarkan artikel mengenai kisah hidup seorang lelaki bernama Adam Warren Fernandez Abdullah yang merupakan bekas pembantu paderi yang kini telah memeluk agama Islam.

Kisah lelaki ini suatu ketika dahulu pernah mencuri tumpuan ramai pihak selepas pihak media menyiarkan pengalamannya yang mendapat hidayah dari Allah SWT.

Bagaimanapun, hari ini Adam mengirimkan kepada kami emel berkongsi luahan hatinya setelah bergelar mualaf sejak 18 Julai lalu.

Dugaan dan tempias yang dihadapi amat mengejutkan kami apatah lagi melibatkan sikap dan pemikiran segelintir manusia sesama saudara Islam.

Menurut Adam, setelah penghijrahannya dia amat berminat terhadap ayat-ayat hadis dan Al-quran hingga berkongsi bersama rakan-rakan Islamnya di WhatsApp.

Malangnya, dia dimaki dan dicaci seolah-olah dia ingin mengajar orang islam yang sudah lama menganuti agama ini.

“Saya mula minat dgn Ayat Hadis dan Quran hingga WhatsApp pada kekawan lama Islam, akan tetapi saya amat terkejut bila menerima balasan mesej tersebut dengan ayat seperti ‘Jangan Nak Ajar Saya’, ‘You ingat You siapa’.”

Lebih mengejutkan lagi, seorang kenalan yang kuat agamanya dalam Islam menyelar dirinya dan mendakwa dia tidak akan bertahan lama dalam kerana dia bukanlah muslim sejak lahir.

“Seorang Hamba Allah ni yg kuat Agama, berkata pada saya ramai yg murtad adalah mualaf. Kami nak tengok berapa lama anda dpt bertahan kerana hanya orang yang lahir Muslim sahaja boleh tahan.

“Tolonglah elakkan dari bercakap perkara-perkara sebegini kepada mualaf kerana kami amat memerlukan sokongan anda untuk mengajar kami solat dan membaca Al-quran.” ujarnya lagi.

Sepatutnya seorang muslim, kitalah yang bertanggungjawab dalam membantu dan mendidik saudara baru seperti ini dan bukanlah menjatuhkan semangat diri mereka yang baru mengenal dalam mendalami agama Islam.

Disamping itu, Adam Warren Fernandez memberitahu yang dia kini sedang mencari seorang guru agama persendirian yang dapat membimbing dan mengajarnya untuk mendalami ajaran agama Islam.

Moga-moga suatu hari nanti ada yang dapat tampil dan membantu jejaka mualaf ini.


Sumber: Mynewshub.cc