Komposer terkenal dan berpengalaman, "Sifu" Datuk M. Nasir menyifatkan
lagu-lagu yang dicipta sejak kebelakangan ini kurang unsur sensasi dalam
gubahan selain komposer dikatakan kekurangan idea untuk mencipta
lagu-lagu sebegitu.
“Saya dapati secara keseluruhan, bukan untuk AJL sahaja tapi
seluruh dunia mengalami kekurangan idea. Ia adalah fenomena dunia di
mana kebanyakan lagu yang dibuat tak ada elemen sensasi,” katanya yang dipetik dari
portal Gua.
M. Nasir turut diminta mengulas mengenai kemenangan besar penyanyi
hip hop SonaOne menerusi lagu No More yang dijulang sebagai Lagu Terbaik
di Anugerah Industri Muzik ke-21, baru-baru ini.
Menurutnya, beliau tidak dapat menilai lagu tersebut kerana
kebiasaannya budaya hip hop mencedok lagu yang popular, kemudian
digabungkan dengan idea mereka.
“Saya tak tahu kenapa dan susah untuk dinilai mengenai
perkara ini. Bagi saya, budaya hip hop biasanya mencedok lagu yang
popular dan digabungkan dengan idea mereka. Jadi, saya tak tahu nak
nilai macam mana,” katanya.
Ditanya perkembangan terkini, M. Nasir menyatakan beliau dalam proses
mengumpul material selepas baharu sahaja menjayakan Konsert Hati Emas
Kembara di Istana Budaya, bulan lalu. -Kedahnews.com