Seorang penduduk kampung hanya dapat memerhatikan keadaan kediaman penduduk kampung yang teruk ditenggelami air hingga ke paras bumbung di Kampung Labit di Lenggong pada Selasa. - Foto BERNAMA |
KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di Perlis, Perak, Terengganu, Pahang
dan Sabah bertambah buruk malam ini, manakala di Kelantan keadaan
sedikit baik.
Di PERLIS, sehingga 7 malam Selasa, jumlah mangsa banjir meningkat
kepada 104 orang berbanding 93 orang petang tadi dan sebuah lagi pusat
pemindahan dibuka iaitu di Dewan Beseri Dalam, kata jurucakap Majlis
Keselamatan Negara (MKN) Perlis.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir di daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar
dan Ipoh juga meningkat kepada 421 mangsa malam ini berbanding 170
petang tadi.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Manab Baharum berkata setakat
ini, jumlah mangsa banjir di Hulu Perak ialah 256 mangsa, Kuala Kangsar
(142 mangsa) dan 23 mangsa di Ipoh.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa meningkat daripada 12,403 orang petang
tadi kepada 12,629 orang setakat 7 malam ini, kata jurucakap MKN
Terengganu.
Kemaman merupakan kawasan yang paling terjejas dengan jumlah mangsa
5,657 orang diikuti Kuala Terengganu 2,895 orang, Dungun 2,654 mangsa,
Hulu Terengganu 811 orang, Besut 499 orang, Marang 91 mangsa dan Setiu
22 orang.
Bagaimanapun pusat operasi berkurangan kepada 92 berbanding 93 petang tadi.
Keadaan sama di PAHANG apabila jumlah mangsa banjir terus meningkat
kepada 6,286 orang malam ini berbanding 4,729 orang di enam daerah
petang tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang
berkata, mangsa banjir di Kuantan merupakan yang paling ramai iaitu
3,525 orang yang ditempatkan di 22 pusat pemindahan di daerah itu.
“Di Maran melibatkan 1,373 orang di 12 pusat pemindahan, Lipis 659
orang di 12 pusat pemindahan, 384 orang ditempatkan di 14 pusat
pemindahan di Jerantut manakala Rompin 246 orang di dua pusat pemindahan
dan 99 mangsa di Pekan yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan,”
katanya kepada Bernama.
Beberapa laluan utama ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Jalan
Kuantan-Sungai Lembing (dekat Jambatan Sungai Riau), Jalan
Kuantan-Sungai Lembing (Simpang Tiga Panching), Jalan Jerantut-Lipis dan
Jerantut-Kuala Tahan.
Di SABAH, jumlah mangsa banjir di Beaufort meningkat kepada 293
mangsa malam ini berbanding 268 orang petang tadi, manakala keadaan
tidak berubah di Tenom dengan kekal 19 mangsa di sebuah pusat
pemindahan.
Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shaid Othman berkata kesemua 293 mangsa
yang melibatkan 104 keluarga dari tujuh kampung itu ditempatkan di pusat
pemindahan sementara Dewan Masyarakat Baru di daerah itu.
Beliau berkata lebih 10 jalan terputus dan ditutup untuk kenderaan
ringan iaitu di Kampung Melulugus, Kampung Lawa, Kampung Lago, Kampung
Suasa, Kampung Lupak, Kampung Selinsing, Kampung Kebulu, Kampung
Beringin, Kampung Gadong, Kampung Lawa, Kampung Lawa Labi, Kampung
Gumarit dan Kampung Lago.
Berbeza dengan di KELANTAN, jumlah mangsa banjir mencatatkan sedikit
penurunan iaitu daripada 22,259 mangsa petang tadi kepada 21,601 orang
malam ini yang ditempatkan di 96 pusat pemindahan.
Mangsa banjir berkenaan terdiri daripada sembilan jajahan iaitu Gua
Musang, Jeli, Kota Baharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh,
Tanah Merah dan Tumpat.
Bacaan paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada pada
paras bahaya dan empat bacaan di tiga sungai utama di negeri itu juga
masih melepasi paras bahaya.
Sehingga kini jumlah kematian akibat banjir di Kelantan sejak 16 Dis lalu masih kekal empat orang. – BERNAMA