MAS: Dakwa Jentayu Beri Harapan Palsu, Pegawai Korporat Tolak Cadangan Pajakan Pesawat

KUALA LUMPUR - Cadangan Jentayu Danaraksa Sdn Bhd membeli semua pesawat Penerbangan Malaysia Bhd (PMB) untuk menubuhkan syarikat pemajakan pesawatnya sendiri dan mengambil semua 6,000 pekerja yang dijangka diberhentikan di bawah pelan penstrukturan semula Malaysia Airlines (MAS), adalah sesuatu yang tidak masuk akal daripada segi perniagaan, kata seorang ketua pegawai eksekutif (CEO), Isnin.

Ahmad Zakie Ahmad Shariff, CEO Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berkata, GE Capital Aviation Services, pemberi pajakan dan pinjaman enjin pesawat terbesar dunia yang memiliki lebih 1,600 pesawat pun, hanya mempunyai kira-kira 500 kakitangan.

"Bagaimana Jentayu boleh mengambil 6,000 pekerja untuk menguruskan operasi kurang daripada 150 pesawat.

"Itu adalah sesuatu yang mengarut daripada segi perniagaan. Bukankah itu juga memberi harapan palsu kepada kakitangan MAS terbabit," kata beliau ketika mengulas tawaran RM8.75 bilion Jentayu untuk membeli PMB daripada Khazanah Nasional Bhd sebagai cadangan komplimentari kepada pelan 12 perkara penstrukturan semula oleh Khazanah.

Ahmad Zakie, seorang pakar ekonomi menjelaskan, ia bukan mengenai masalah untuk melatih semula pekerja terbabit kerana ia sudah pasti akan berlaku ketidakpadanan di antara kakitangan dan kebolehan teras yang diperlukan untuk perniagaan memajak pesawat.

"Ia dua perkara yang berbeza sama sekali. MAS adalah perniagaan berintensifkan pelanggan manakala perniagaan memajak pesawat memerlukan kemahiran kewangan yang tinggi.

"Selain itu, jika perniagaan memajak pesawat ini gagal, tidakkah kerajaan perlu menyelamatkan aset nasional itu sekali lagi?" katanya.

Pelan Jentayu menubuhkan syarikat baharu (NewCo) untuk mengendalikan MAS, Malaysia Airlines Bhd (MAB), adalah satu daripada 28 cadangan dikemukakan kepada Khazanah sejak pengumuman penswastaan MAS dan penyahsenaraiannya mulai Rabu 31 Disember ini.

Beliau menyamakan jualan dan memajak kembali pesawat di bawah pelan Jentayu itu seperti menghapuskan aset dan liabiliti dan hanyalah penstrukturan semula kewangan yang akan menyelesaikan masalah kunci kira-kira dan aliran tunai secara sementara, tetapi tidak menyelesaikan masalah pokok.

Menurut Ahmad Zakie, ia telah pun dilakukan melalui penstrukturan semula aset dan liabiliti pada 2002 yang bertujuan menjadikan MAS syarikat penerbangan 'ringan aset' tetapi ia hanya langkah sementara kerana apa yang syarikat itu benar-benar perlukan ialah 'membetulkan operasi' yang sedang dilakukan.

Beliau menggunakan analogi seorang pesakit yang mempunyai masalah jantung tersumbat bagi menjelaskan pandangannya - memakan pil atau mungkin angiogram atau menjalani pembedahan pintasan mungkin akan membolehkan pesakit dapat hidup lebih lama.

Langkah terbabit hanya sementara jika pesakit berkenaan tidak menukar gaya hidup, mengambil makanan yang betul dengan senaman yang sewajarnya. Ia memerlukan perubahan menyeluruh bagi seseorang itu menguruskan hidupnya atau menghadapi risiko peningkatan plak dalam arteri koronari sekali lagi, dan seterusnya terpaksa mengulangi proses 'penstrukturan semula'.

"Ia sama dengan MAS, sebelum ini telah diberikan sama ada melalui suntikan modal atau jualan pelbagai asetnya untuk 'mencantikkan' kewangannya, tanpa ada perubahan struktur dan hanya menunggu masa untuk masalah yang sama berulang kembali," tambahnya.

Pajakan akan menyebabkan kos yang tinggi pada masa depan dan jika tidak dilakukan dengan betul, akan memaksa MAS menanggung kos yang tidak munasabah bagi memulangkan peswat yang dipajak dan dalam sesetengah kes, terpaksa membelinya bagi mengelak denda.

"Ia hanya melambatnya masalah yang tidak dapat dielakkan, menolak penstrukturan semula operasi yang diperlukan kepada masa depan. Ia telah dilakukan sebelum ini dan MAS telah mempelajarinya secara sukar, bagaimana ia menjejaskan MAS sekarang dan pada masa depan. Mengapa MAS perlu melakukannya lagi?"

Ahmad Zakie berkata, memajak daripada satu pihak ketiga sahaja adalah berisiko dan tidak sepatutnya dilakukan, dengan menambah ia adalah tidak munasabah untuk 'meletakkan semua telur dalam satu bakul'.

Menurutnya, walaupun cadangan Jentayu itu boleh dipertimbangkan berdasarkan 'pemanis' kadar keutamaan yang diberikan kepada MAS oleh pihak ketiga ketika membeli pesawat MAS; tetapi apa yang perlu difikirkan akhirnya ialah peniagaan tetap perniagaan.

"Dengan banyak syarikat penerbangan ke rantau ini melalui dasar langit terbuka ASEAN tidak lama lagi, mengapa perlu Jentayu memajak kepada MAS pada kadar keutamaan apabila ia boleh memajak kepada syarikat penerbangan lain pada kadar pasaran?

"Bagaimana anda akan menjelaskan perkara ini kepada pemegang saham atau pembiaya anda? Adakah anda menceburi pajakan pesawat untuk menjalankan perniagaan atau adakah ini satu tanggungjawab sosial?

"Jika Jentayu mendapat sokongan syarikat pajakan pesawat antarabangsa dan sokongan kewangan lebih US$2.5 bilion (RM8.75 bilion) sebagaimana didakwanya, tidak ada apa yang boleh menyekatnya daripada menubuhkan syarikat baharu pajakan pesawat bagi memberi perkhidmatan kepada syarikat penerbangan di Malaysia (MAS, AirAsia, Malindo), malah kepada syarikat lain di rantau ASEAN. Mengapa mereka perlukan PMB?" katanya.

Ahmad Zakie berkata, menjual PMB, FireFly atau pun anak syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihannya, tidak pernah menjadi sebahagian daripada pelan 12 perkara Khazanah dan jika MAS memutuskan untuk menjual pesawat atau mana-mana asetnya, ia akan dibuat melalui proses biasa dan secara telus dan bukannya melalui rundingan langsung.

"Sebagai anak syarikat 100 peratus milik Khazanah, MAS baharu itu tidak mempunyai masalah bagi mengumpul dana untuk membeli pesawat jika ia mahu. Setakat ini Jentayu tidak menunjukkan asas agar ia dipertimbangkan sebagai rakan yang boleh dipercayai yang boleh menwarkan kadar yang lebih baik daripada pasaran.

"Masalah MAS selama ini adalah mengenai operasi dan bukannya pembiayaan; kita perlu melayan MAS sebagai entiti perniagaan jika kita mahu melihat sedikit keberuntungan.

"MAS perlukan penstrukturan semula organisasi secara menyeluruh seperti yang disediakan melalui pelan 12 perkara Khazanah dan bukannya penyelesaian kewangan sedikit demi sedikit yang dilakukan sebelum ini.

"Apa yang boleh Jentayu lakukan untuk MAS beroperasi dengan lebih baik? Membeli pesawatnya dan kemudian memajaknya kembali tidak akan menyelesaikan sebarang masalah dalam operasinya," katanya. -BERNAMA