SEPANG – Malaysia Airlines (MAS) menyambut ketibaan pesawat Boeing
737 ke-100 sambil meraikan perkongsian lebih 40 tahun dengan pengeluar
kapal terbang berkenaan pada Isnin.
Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, pesawat
baharu itu yang boleh terbang sehingga enam jam, berlepas dari Seattle
pada 19 Disember dan melakukan persinggahan di Hawaii, Majuro dan Guam.
Perjalanan sejauh 15,000 kilometer itu mengambil masa 21 jam.
“Boeing 737-800 adalah yang terkini dalam jenis itu dengan
peningkatan keupayaan ia mampu menawarkan kecekapan bahan api 15 peratus
lebih baik.
“Varian Boeing 737 terus menjadi pesawat yang menakjubkan untuk
syarikat penerbangan kami dengan kebolehpercayan yang konsisten, ekonomi
dan keselesaan penumpang yang tiada tandingan,” katanya dalam ucapan
selepas menyambut ketibaan pesawat berkenaan.
Ahmad Jauhari berkata, pesawat berbadan kecil dengan 160 tempat duduk
itu turut dilengkapi hiburan ketika penerbangan dan ruang simpan barang
di atas tempat duduk yang lebih besar.
Pesawat B737-800 yang diterajui Kapten Kamarozaman Ahmad itu tiba
diLapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 2 petang hari ini
diberi sambutan tradisi dengan tembakan meriam air ketika ia bergerak
menghampiri Hangar 5.
Untuk rekod, MAS menerima Boeing 737 pertama, iaitu 737-200 pada 1972
dan mengendalikan 737-200, 737-400, 737-500 dan 737-800 serta 737-400
dan 777-200ER. – BERNAMA