Mayat Lelaki Reput Terapung Di Sungai Petani


SUNGAI PETANI – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan reput dan terapung di tebing sungai dekat Kampung Kemumbung, Sidam dalam kejadian 11.20 pagi semalam.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Khairil Shamsul Md Yusof berkata, pasukan bomba menerima panggilan kira-kira jam 11.23 pagi oleh orang awam yang menyedari kejadian.

Menurutnya, tujuh anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

“Ketika tiba, didapati mayat seorang lelaki yang sudah reput ditemui terapung di tebing sungai dan operasi menaikkan mayat berjaya dilakukan sejurus kemudian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

"Setakat ini, identiti mangsa masih belum dapat dipastikan. Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat," katanya. -Sinar Harian