KUALA LUMPUR — Bekas Anggota Parlimen
Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memberitahu Mahkamah Tinggi
di sini hari ini bahawa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim
mempunyai sifat “megalomania” (berasa diri hebat dan berkuasa) dan hanya
mementingkan agenda peribadinya.
Zahrain berkata beliau juga secara peribadi berpendapat Anwar bukan
seorang yang berwibawa dan tidak boleh dipercayai selepas berkesempatan
untuk bekerjasama dengan Anwar dalam PKR.
“Saya percaya beliau seorang megalomania. Saya percaya bahawa Anwar
cuma mementingkan agenda peribadinya iaitu menawan Putrajaya ‘dengan apa
cara sekalipun” dan menganggap dirinya sebagai bakal perdana menteri,”
kata beliau semasa pemeriksaan utama oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee
Abdullah yang mewakili Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Zahrain, Duta Besar Malaysia ke Indonesia memberi keterangan pada
perbicaraan kes saman RM100 juta dikemukakan oleh Anwar terhadap Anifah
berhubung kenyataan Menteri Luar itu pada sidang media di Washington
pada Mei 2009.
Ketika ditanya oleh Muhammad Shafee apakah pengertiannya mengenai
kata-kata plaintif (Anwar) “dengan apa cara sekalipun’, beliau menjawab
“mungkin dia menawarkan wang atau jawatan”.
Zahrain dalam kenyataan saksi yang dikemukakan di mahkamah berkata
beliau percaya apa yang plaintif maksudkan dengan perkataan “dengan apa
cara sekalipun’ ialah beliau (Anwar) akan menggunakan apa cara yang ada
untuk memastikan parti gabungan PKR akan membentuk Kerajaan Persekutuan
yang baharu melalui tindakan menarik anggota kerajaan Barisan Nasional
(BN) untuk melompat parti.
“Ini termasuk dan tidak terhad kepada habuan kewangan untuk menarik anggota Parlimen BN untuk berbuat demikian,” katanya.
Zahrain berkata beliau mengenali Anwar sejak 2008 semasa pilihan raya
umum apabila beliau (Zahrain) menjadi anggota Parlimen dan oleh kerana
gabungan BN telah memenangi pilihan raya, Anwar tidak dapat menerima
hakikat bahawa partinya telah tewas.
“Anwar secara konsisten membuat kenyataan dalam media massa bahawa
Kerajaan Persekutuan yang dipilih oleh rakyat akan tumbang kerana ramai
anggota Parlimen daripada BN telah mengambil keputusan untuk melompat
parti dan menyertai PKR untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang
baharu,” katanya.
Zahrain berkata, pada atau sekitar tahun 2008 selepas BN memenangi
pilihan raya umum, beliau tidak yakin mengenai keupayaan Pakatan Rakyat
untuk menerajui negara yang kemudian mendorong beliau untuk menjadi
anggota Parlimen Bebas.
“Pada masa itu, ada cakap-cakap mengenai tawaran yang dibuat kepada
anggota Parlimen daripada BN untuk melompat parti dan PKR yang plaintif
(Anwar) dakwa akan membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu kerana
beliau telah memperoleh sokongan daripada sekurang-kurangnya 32 lagi
anggota Parlimen untuk tujuan itu.
“Saya tahu bahawa Anwar telah menjanjikan habuan kewangan kepada
beberapa anggota Parlimen BN dan kepada yang lain beliau menjanjikan
jawatan tertentu jika parti pimpinan Anwar membentuk Kerajaan
Persekutuan yang baharu,” katanya.
Zahrain juga berkata beliau secara peribadi tidak tahu bahawa
plaintif mahu anggota Parlimen Kimanis (Anifah) untuk menyertai PKR dan
Anwar telah bercakap mengenai perkara itu dengan beberapa pemimpin PKR.
“Yang saya ingat ialah Wee Choo Keong, Datuk Zulkifli Nordin. Turut
hadir pada masa itu ialah Chua Tian Chang, Datuk Johari Abdul, Datuk
Rashid Din dan beberapa yang lain,” katanya.
Terdahulu, anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
memberitahu mahkamah bahawa seseorang telah menawarkannya RM5 juta untuk
melompat parti dan menyertai PKR.
“Saya menerima panggilan di rumah saya dengan pemanggil menawarkan
kepada saya RM5 juta untuk melompat parti ke PKR. Pemanggil berkata dia
dari PKR. saya tidak ingat namanya tetapi dia bertutur seperti loghat
orang Sabah.
“Saya ada memberitahu pegawai Cawangan Khas (SB) mengenai panggilan
telefon ini dan memberikan nombor telefon pemanggil yang tercatat dalam
log telefon saya kepada SB. Saya tidak ingat secara khusus tentang
tarikh panggilan tetapi panggilan dibuat sebelum 16 Sept, 2008,” kata
Kiandee.
Katanya beliau tidak ambil kisah tentang panggilan itu kerana tahu bahawa beliau tidak akan melompat parti.
Ketika disoal oleh peguam Ranjit Singh yang mewakili Anwar sama ada
beliau telah membuat laporan polis mengenai tawaran itu, saksi itu
berkata “tidak”.
Anwar mengemukakan saman terhadap Anifah dan Kerajaan Malaysia pada
27 Mei, 2009, kerana mendakwa kenyataan Anifah pada sidang media di
Washington, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat
ketika itu, Hillary Clinton telah mencemarkan nama baiknya.
Anwar mendakwa kenyataan defendan yang dilaporkan secara meluas dalam
media tempatan dan media asing, telah menimbulkan fitnah terhadap
perwatakannya dan secara langsung dan tidak langsung menggambarkan
beliau sebagai seorang yang tidak beretika, tidak berprinsip dan korup.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid bersambung esok. — BERNAMA