Melayu Terbahagi 3: Angkara Siapa Sebenarnya?

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menuduh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai rasis kerana menimbulkan isu bangsa Melayu yang terpecah tiga sehingga terpaksa mengemis sokongan politik dari kaum Cina di Malaysia.

Puteri sulung pasangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail itu mendakwa ucapan arkitek pembangunan negara itu hanya boleh mengundang kebencian dan kemarahan rakyat akibat isu perkauman yang dimainkan.

Soalnya, apakah benar Tun Dr Mahathir mengeluarkan ucapan berpaksikan perkauman yang mengancam kepentingan kaum lain sebagaimana yang didakwa Nurul Izzah?

Sekiranya dirujuk sejarah penjajahan di Tanah Melayu suatu ketika dahulu, penjajah British mengamalkan dasar "pecah dan perintah" untuk memisahkan perpaduan di antara kaum dan etnik di negara ini ketika itu.

Dasar "tersirat" itu bukan saja dilakukan dalam bidang politik di Tanah Melayu, malah turut dilaksanakan dalam bidang pendidikan, sosial, ekonomi, kebudayaan dan sebagainya sehingga wujudnya rasa prejudis antara satu sama lain.

Mewujudkan sekolah vernakular ketika itu merupakan antara kejayaan British dalam usaha "pecah dan perintah" tersebut.

Namun selepas merdeka dan khususnya selepas melangkah ke era millenium apabila ayah Nurul Izzah dibebaskan dari penjara, Melayu terpecah kepada tiga kumpulan, melambangkan orang Melayu tidak lagi bersatu selepas kemerdekaan dicapai.

Soalnya, siapa yang memecahkan Melayu di zaman serba moden ini?

Selepas merdeka dicapai, PAS wujud sebagai entiti asing parti pembangkang yang sangat perlu di dalam sistem politik negara yang berperanan sebagai faktor "check and balance" di dalam parlimen.

Suasana harmoni politik orang Melayu ketika itu aman dan hanya wujud perselisihan faham kecil sahaja melibatkan soal politik. Namun secara umumnya, umat Islam tanpa mengira PAS atau UMNO bersatu hati khususnya berhubung isu Islam mahupun kepentingan Melayu.

Namun, selepas bapa Nurul Izzah dipenjara atas kesalahan salah lakunya sebagai Timbalan Perdana Menteri, PKR ditubuhkan dan Anwar yang ketika itu gagal dalam usaha menjadi Perdana Menteri telah berikrar mahukan jawatan tersebut menerusi perjuangan parti tersebut.

Sejak itulah, telah ditanam sikap benci membenci di kalangan orang Melayu di dalam dunia politik negara di mana terdapat tokoh-tokoh PKR sendiri yang mempertikai kepentingan Islam di Malaysia.

Sebagai contoh, Anwar dan Nurul Izzah sendiri pernah mengkritik hukum syariah di Malaysia yang dikatakan "kolot" dan "outdated" kerana enggan mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender di negara ini. Ia dibuktikan melalui rakaman wawancara dengan sebuah stesen televisyen antarabangsa.

Sikap mempersoal kedudukan Islam itu telah mencetus idea di kalangan golongan muda Melayu yang tidak kenal agama, perlembagaan dan sejarah untuk bersama dengan PKR mendokong fahaman yang berkonsepkan liberal dan pluralisme itu.

Sekaligus, ia memecahkan bangsa Melayu di Malaysia. Bukan sahaja di bidang politik, kini ia diterjemahkan lagi pemecahan bangsa Melayu menerusi fahaman agama Islam. Tidak cukup dengan Syiah, liberalisme dan pluralisme pula diperkenal...

Berbalik pada persoalan asal, siapakah yang memecahkan bangsa Melayu di zaman ini sehingga menyebabkan bangsa bumiputera itu terpaksa "mengemis" di bumi sendiri?

UMNO pecat Anwar atas salah laku yang disahkan mahkamah melakukan liwat (cuma tidak dihukum atas keraguan teknikal masa kejadian), dan Anwar disahkan melakukan salah guna kuasa ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

UMNO tidak wajar dipersalahkan atas tindakan memecat Anwar. Seorang pemimpin yang bermasalah, terlibat dengan salah laku moral yang serius dalam Islam dan terbukti salah guna kuasa tidak layak menjadi pemimpin bukan?

Jika UMNO mengekalkan pemimpin seperti itu, maka jelas sekali UMNO akan menjadi "punching bag" dan Anwar akan menjadi "subjek" utama untuk mempertikai kreadibiliti UMNO sebagai parti tunjang pentadbiran negara!

Namun, apakah tindakan itu mewajarkan Anwar untuk memecah belahkan bangsa Melayu dengan menubuhkan PKR hanya kerana bermotif mahu menjadi Perdana Menteri atas kesalahan yang telah dibuktikan di mahkamah? Tidak perlu, bukan?

Justeru itu, penulis berpandangan bahawa Anwarlah individu yang bertanggungjawab memecah-belahkan bangsa Melayu di zaman moden. Dengan dendam dan menimbulkan kebencian terhadap UMNO, maka bangsa Melayu berpecah-belah.

Soalnya, apakah salah Tun Dr Mahathir menjelaskan kedudukan bangsa Melayu itu? Apakah itu satu ancaman kepada kaum lain? Apakah Tun Dr Mahathir menyuruh bangsa Melayu memerangi kaum lain di Malaysia? Tidak!

Jadi, di mana timbulnya isu perkauman yang didakwa Nurul Izzah itu? Atau Nurul Izzah sendiri yang tidak tahu makna di sebalik maksud sebenar "perkauman" itu?

Pada pandangan penulis, berkemungkinan besar Nurul Izzah "terasa" dengan kenyataan Tun Dr Mahathir itu yang mungkin ditujukan khas kepada bapanya yang merupakan pemecah-belah anak bangsa di zaman moden ini, kan?

Selalunya, hanya yang makan cili sahaja yang akan "terasa" pedasnya... -Amir Hamzah/UtaraNews.com