JAKARTA – Pihak berkuasa ibu negara Indonesia hari ini mula
melaksanakan projek perintis larangan kemasukan motosikal di semua jalan
utama pusat bandar Jakarta selama sebulan sebelum berkuat kuasa
sepenuhnya akhir Januari tahun depan, lapor media tempatan.
Menerusi projek percubaan tersebut, kenderaan enjin beroda dua itu
akan dilencong ke pelbagai jalan alternatif bertujuan mengatasi
kesesakan teruk waktu puncak dan kes kemalangan trafik yang banyak
melibatkan sikap tidak berdisiplin penunggang motosikal.
“Untuk jangka panjang, kami berharap dasar ketat ini akan langsung
menurunkan jumlah pengguna motosikal di semua laluan utama selain
melancarkan pergerakan lalu lintas,” kata ketua Pengurusan Kawalan
Trafik di Agensi Pengangkutan Jakarta, Massdes Arouffy.
Sepanjang projek ujian itu, polis trafik hanya akan memberi amaran
keras jika menemui penunggang motosikal yang ingkar cuba menceroboh
laluan larangan namun selepas dikuatkuasakan tahun depan, pesalah boleh
didenda 513,094 rupiah (RM140).
Punca utama kepada peraturan tersebut susulan langkah pihak berkuasa
bandar raya Daerah Khusus Ibu Kota Jakarta melaksanakan skim tol jalan
elektronik atau Electronic Road Pricing (ERP) seperti di Singapura bagi mengawal kemasukan kenderaan pada waktu sibuk.
Menerusi ERP, 10 daerah iaitu Tanah Abang, Menteng, Setiabudi, Tebet,
Matraman, Senen, Gambir, Tambora, Sawah Besar dan Taman Sari akan
dipasang gantri tol di atas jalan yang mengenakan kadar mahal pada waktu
puncak dan murah di luar daripada waktu tersebut.
Pengharaman motosikal juga disebabkan pelaksanaan lorong bebas
kenderaan untuk laluan bas TransJakarta yang akan ditambah bagi menarik
masyarakat menaiki pengangkutan awam termasuk sistem rel canggih MRT
Jakarta yang akan siap pada 2016. – Agensi