Mukhriz Atur Langkah Remajakan UMNO Kedah

KUALA LUMPUR – Umno Kedah merangka pelbagai inisiatif sebagai usaha meremajakan parti itu dalam konteks negeri Kedah.

Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perancangan untuk membuka luas peluang pekerjaan, perumahan dan kebajikan telah dilaksanakan dalam usaha menarik perhatian golongan muda mendekati Umno.

“Kalau nak tarik golongan muda, kita perlu tahu bagaimana mahu menepati aspirasi dan kehendak mereka iaitu peluang pekerjaan untuk menambah pendapatan dan meningkatkan ekonomi mereka,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

“Melalui Bajet Kedah 2015, ia bukan sahaja menekankan kepada aspek ekonomi, sebaliknya usaha menarik anak-anak muda yang berhijrah ke negeri lain, balik semula ke Kedah.

“Anak-anak jati Kedah yang keluar mencari rezeki di luar (dari Kedah) ini semuanya berkualiti. Kita perlu bawa mereka balik ke Kedah dan melalui pembangunan yang akan dijalankan, baru boleh tarik mereka pulang,” katanya. – BERNAMA