AYER KEROH – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
menegaskan kerajaan sama sekali tidak akan membenarkan abu mayat
Setiausaha Agung Parti Komunis Malaysia (KPM), Chin Peng dibawa balik ke
negara ini.
Beliau berkata, sewaktu zaman komunis, Chin Peng atau nama sebenarnya
Ong Boon Hua telah menyebabkan ramai polis atau tentera yang gugur.
“Kalau Chin Peng seorang yang mahu dihormati, bagaimana
dengan saudara mara dan anak beranak kepada polis dan tentera yang telah
dibunuh oleh pengganas komunis akibat individu itu.
“Saya tidak emosi dalam perkara ini, tapi berapa ramai yang mati
berbanding mahu menghormati yang seorang ini (Chin Peng),” katanya pada
sidang media selepas perasmian Festival Motosikal Persatuan Motosikal
Berkuasa Tinggi Malaysia (SAM) Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa
Melaka (MITC) di sini sebentar tadi.
Ahmad Zahid mengulas laporan Pengerusi Setiakawan Malaysia Abad
ke-21, Lee Huck Tee yang mendesak agar kerajaan membenarkan mayat atau
abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia.
Alasan Tee ialah kerajaan perlu menghormati Perjanjian Perdamaian
Hatyai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 bersama PKM dan kerajaan
Thailand dengan salah satu syarat perjanjian adalah ahli PKM dibenarkan
kembali ke negara ini jika mereka mahu berbuat demikian.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau juga tidak mahu ada
pemujaan berlaku jika abu mayat Chin Peng ditempatkan di biara tertentu
di negara ini.
Sumber: BH Online