GEORGETOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menegaskan
bahawa Persiaran Gurney di sini akan kekal dengan nama berkenaan dan
kerajaan negeri tidak pernah bercadang menukarnya kepada Persiaran Chin
Peng.
Lim menyifatkan tuduhan kononnya nama jalan berkenaan akan ditukar
kepada Persiaran Chin Peng mulai 1 Jan depan sebagai satu fitnah dan
cubaan untuk menimbulkan kebencian kaum.
Tuduhan itu dibuat Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim.
“Kita nak tanya Rafizal mana ada sumber pejabat ketua menteri yang
berikan maklumat sedemikian. Saya cabar beliau nyatakan siapa sumber
itu. Kalau ketua menteri pun tak tahu (mengenai pertukaran nama) macam
mana boleh ada sumber daripada pejabat ketua menteri.
“Perkara ini memang tidak wujud langsung. Persiaran Gurney akan kekal
menjadi Persiaran Gurney. Kita rasa ini (dakwaan berkenaan) sudah
lebih.
“Nak timbulkan kebencian terhadap kerajaan negeri, mengancam dan
mengugut, saya rasa itu sudah lebih,” kata Lim pada sidang media di sini
hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan membuat laporan
polis terhadap Pemuda Umno Pulau Pinang dan Rafizal esok kerana membuat
tuduhan jahat berkenaan.
Semalam, Rafizal mahukan penjelasan kerajaan negeri tentang khabar
angin kononnya Persiaran Gurney akan ditukar nama berkuat kuasa 1 Jan
sebagai mengenang sumbangan Chin Peng dalam memperjuangkan kemerdekaan
negara.
Rafizal dalam sidang akhbar berkata pihaknya mendapat maklumat itu menerusi sumber dari pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan sumber berkenaan.
Lim berkata tindakan itu juga adalah cubaan Umno untuk mengalih
perhatian rakyat terhadap ucapan Ketua Umno bahagian Permatang Pauh
Datuk Mohd Zaidi Mohd Said pada Perhimpunan Agung Umno Jumaat lepas.
Mohd Zaidi mendakwa kegiatan seperti perjudian dan pelacuran adalah
‘sumber kekuatan Cina yang tidak menyokong Barisan Nasional (BN)’ di
Pulau Pinang dan mahu aktiviti penguatkuasaan diperketatkan.
“Perbuatan jenayah ini saya rasa nak alih perhatian daripada masalah yang dihadapi oleh Umno sekarang,” katanya.
Sementara itu, Lim berharap polis dan Pihak Berkuasa Tempatan akan
menjalankan operasi bersama bagi menangani isu penjaga tempat letak
kereta haram yang menggunakan kekerasan terhadap orang awam bagi
mengutip wang.
“Pada 1 Dis lepas, seorang lelaki dipukul dengan helmet oleh penjaga
tempat letak kereta haram kerana tidak membayar wang parkir. Lelaki itu
tak mahu bayar sebab tempat letak kereta itu percuma,” tegasnya.
Dalam kejadian pukul 6 petang itu, Theam Ah Soo, 52, dipukul dengan
helmet sebanyak tiga kali oleh seorang lelaki berusia dalam lingkungan
20-an mengakibatkan mata dan dadanya cedera selepas enggan membayar wang
kepadanya.
Kereta itu diparkir di kawasan tempat letak kereta percuma milik Perbadanan Bukit Bendera di Air Itam. – BERNAMA