Gara-gara berang melihat seorang lelaki yang sedang mengintai
isterinya, seorang suami berserta rakan-rakannya bertindak memukul
lelaki berkenaan sehingga membawa kepada maut.
Insiden ini berpunca apabila mangsa dipercayai sedang leka mengintai
isteri suspek yang berusia 20-an menerusi tingkap jeriji (tingkap nako)
di sebuah rumah Kampung Bujar, Air Jernih yang dikelilingi tanaman kelapa sawit kira-kira pukul 8.30 malam.
Geram dengan tindakan pemuda tersebut, si suami dan rakan-rakannya menangkap dan memukul mangsa sehingga pengsan.
Insiden yang berlaku Ahad lalu ini membawa kepada penahanan lima suspek termasuk sang suami oleh pihak polis Kemaman.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah
Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, berang
dengan tindakan itu, suami wanita berkenaan bersama empat lagi
rakannya memukul mangsa sehingga pengsan dan kemudian menghantar mangsa
ke Pusat Kesihatan Kemasik.
“Akibat insiden itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada,
tangan dan dahi serta pendarahan di hidung dan telinga akibat dipukul.”
ujar Wan Abdul Aziz.
Malangnya, mangsa tidak dapat diselamatkan dan dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kemaman.
Wan Abdul Aziz berkata, pihaknya telah
menerima maklumat daripada Hospital Kemaman tentang mayat seorang
lelaki yang diterima di hospital itu kira-kira pukul 12.01 tengah malam,
Isnin.
Susulan laporan tersebut, pihak polis
berjaya menjejaki dan menahan kelima-lima suspek yang berusia antara 22
hingga 30 tahun di sekitar Kemaman pada hari yang sama.
Kesemua suspek termasuk suami wanita berkenaan kini sedang ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
Manakala, jika suspek disabitkan kesalahan, kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh