Istanbul – Seorang pramugari dipecat selepas tindakan ‘menayangkan
tubuhnya’ dalam video muzik dan beberapa sesi penggambaran diketahui
majikannya.
Zuhal Sengul, 31, menimbulkan kemarahan Turkish Airlines apabila
mengambil bahagian dalam sesi penggambaran dengan berpakaian seksi
termasuk korset dengan gaya ala gotik dalam sebuah majalah Itali.
Malah, video muzik terbabit menampilkan Zuhal yang bertatu dan hanya
memakai bikini menyebabkan syarikat penerbangan itu – yang kini bergerak
ke arah imej lebih konservatif – mengambil tindakan memecat model
sambilan terbabit.
Perkara itu disahkan kenyataan Turkish Airlines.
“Pekerja di dalam sektor perkhidmatan dinasihati memakai mekap sederhana yang kemas dan berwarna pastel,” kata kenyataan itu.
Tindakan terhadap Zuhal – yang juga aktif mempromosikan pemakanan
vegetarian selain memiliki tali pinggang hitam karate – menampakkan
pengaruh nilai Islam yang kini semakin popular di Turki.
Presiden kesatuan pekerja syarikat penerbangan itu turut mengakui Turki semakin konservatif dan mengamalkan adab Islam. – Agensi