KUALA LUMPUR – PAS akan terus mendesak supaya Akta Hasutan 1948
dimansuhkan walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
mengumumkan akta itu perlu dikekalkan demi menjaga keselamatan dan
keharmonian negara.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS akan
memperhebatkan kempen secara besar-besaran ke seluruh negara untuk
menuntut akta itu dihapuskan.
“Pengumuman Perdana Menteri untuk mengekalkan Akta Hasutan tidak
sedikit pun menggugat keyakinan PAS untuk terus memperjuangkan agar akta
ini dimansuhkan.
“Bahkan PAS akan memperhebatkan kempen besar-besaran secara
menyeluruh ke seluruh negara untuk menuntut pemansuhan Akta Hasutan,”
katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mahfuz mendakwa, peruntukan Akta Hasutan membuka ruang kepada
penguatkuasaan yang selektif dan berat sebelah di atas tujuan politik
dan bukan untuk menjaga keamanan negara.
Dakwanya, negara mempunyai peruntukan undang-lain undang yang
mencukupi seperti Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia
untuk membendung jenayah menanam kebencian dan penghinaan ke atas agama
dan kaum.
Ramai pemerhati politik bagaimanapun melihat keputusan mengekal dan
menambah baik Akta Hasutan bukti Perdana Menteri mendahulukan
kepentingan, keperluan, keselamatan serta kesejahteraan masyarakat
majmuk di Malaysia.
Malah, Najib baru-baru ini menegaskan Akta Hasutan tidak dapat
melindungi kepentingan Barisan Nasional (BN) kerana cuma keyakinan
rakyat membolehkan parti itu terus mentadbir kerajaan Pusat.