PAS VS DAP: Ibarat Air Dengan Minyak, Bagaimana Hendak Dicampur?

Lebih setengah tahun, nampaknya kemelut dalaman Pakatan Rakyat masih belum reda-reda di mana para pemimpinnya terus bertelingkah sesama sendiri secara terbuka, sekaligus membuka pekung di dada gabungan PAS, PKR dan DAP itu.

Biarpun sudah berbuih mulut sebelum ini para penganalisis politik mengatakan ikatan ketiga-tiga parti pembangkang itu dijangka tidak panjang usia dek kerana haluan yang sangat berbeza, PAS, PKR dan DAP beriya-iya menafikan pandangan tersebut.

Mereka mendakwa kononnya mempunyai satu titik persamaan iaitu mahu menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum (PRU), namun mereka tidak pula nyatakan titik-titik lain yang jelas menunjukkan mereka tidak sebulu dalam semua perkara.

Kini, retak menanti belah. PAS hari ini mempersilakan DAP keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya parti yang terkenal dengan "chauvinis ultra kiasu" itu tidak selesa dan enggan bersetuju dengan perlaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Memetik kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah, PAS katanya tidak akan sesekali menukar perjuangan mereka untuk melaksanakan hudud semata-mata kerana gilakan kerusi politik dalam pilihanraya.

Menariknya, Nik Mohd Amar membidas DAP dengan mengatakan parti itu boleh keluar dari Pakatan Rakyat pada bila-bila masa yang mereka mahu.

PAS sebelum ini sudah banyak kali bertelagah secara terbuka dengan DAP khususnya berhubung isu berkaitan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu, namun parti itu terpaksa "membisu" apabila PKR lebih cenderung menyokong DAP.

Antara isu yang mencetus ketidak sepakatan PAS dengan DAP adalah isu kalimah "Allah", krisis Menteri Besar Selangor, hukum hudud, ponteng mesyuarat dan banyak lagi perkara lain yang menyaksikan "perang mulut" di dalam Pakatan Rakyat yang tidak sepakat itu.

Nampaknya PKR juga tidak dapat "menyelamatkan" hubungan PAS dan DAP di mana parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memiliki masalah yang lebih besar melibatkan krisis moral luar tabi'ie Ketua Umumnya yang tidak serik-serik.

Sedang BN yang cuba ditumbangkan itu bertungkus lumus bekerja dan berkhidmat untuk kesejahteraan rakyat dan negara, Pakatan Rakyat pula sibuk tidak habis-habis berpolitik sesama mereka.

Soalnya, bila agaknya mereka nak berkhidmat untuk rakyat di kawasan yang mereka wakili agaknya? -Amir Hamzah/UtaraNews.com