KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membatalkan pasport antarabangsa milik
Alvin Tan untuk membawa pulang blogger itu pulang ke tanah air berikutan
beberapa kenyataan kontroversi yang dikeluarkannya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata
tindakan pembatalan pasport itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat.
Katanya, kerajaan akan menggunakan Akta Imigresen bagi membatalkan
pasport antarabangsa milik Alvin Tan untuk membawa pulang blogger
kontroversi itu ke tanah air.
“Mengikut Akta Imigresen 1959/1963 kita ada kuasa untuk batalkan
pasport mana-mana penjenayah yang berada di luar negara bagi membawa
pulang mereka pulang.
“Tindakan itu kita akan buat dalam masa terdekat, mungkin esok kita
akan batalkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pasukan
Petugas Khas Bagi Membanteras Kegiatan Perjudian, Maksiat dan Kongsi
Gelap (STAGG) di sini, hari ini.
Zahid berkata, penubuhan STAGG yang juga skuad tindakan khas ketiga
Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bertujuan membanteras jenayah maksiat,
perjudian dan kongsi gelap dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, keanggotaan skuad elit PDRM itu berkenaan membabitkan 220 anggota dan pegawai polis termasuk 20 pegawai awam.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah luluskan 220
perjawatan baharu membabitkan 61 pegawai, 139 anggota pelbagai pangkat
dan 20 pegawai awam bagi penubuhan skuad elit ini,” katanya. – BH Online