PDRM Berkas 7 Anggota Pengganas Warga Indonesia

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Polis telah menahan tujuh warga Indonesia termasuk empat wanita di sekitar Selangor baru-baru ini kerana disyaki terbabit dalam aktiviti militan dengan menggunakan Malaysia sebagai transit sebelum menuju ke Syria.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam kenyataan hari ini, berkata kesemua mereka berusia antara 25 dan 35 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman, pada 2 Disember lepas.

“Salah seorang daripada mereka merupakan fasilitator yang mengatur pemergian anasir militan Indonesia ke Syria, dan disyaki mempunyai hubungan dengan Umar Patek, anggota kanan kumpulan Abu Sayyaf dan anasir Al-Qaeda di Asia Selatan,” katanya.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak tegas dalam menangani isu anggota militan antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum berlepas ke negara ketiga.

Katanya, kejayaan penahanan kumpulan militan itu merupakan hasil kerjasama rapat antara PDRM dengan agensi penguat kuasa dan perisikan serantau dan global. – BERNAMA