KUALA LUMPUR – Pelakon Rita Rudaini mengakui malu apabila sering
ditawarkan menjadi heroin bergandingan dengan pelakon lelaki lebih muda
dalam sesebuah drama yang dibintangi walaupun usianya kini sudah 38
tahun.
Rita berkata, meskipun masih diberi kepercayaan memegang watak utama,
dia tetap risau perkara tersebut akan membuatkan dirinya dilihat lebih
tua daripada gandingannya itu.
“Saya risau juga apabila digandingkan dengan pelakon muda, takut
nampak tua dan tidak sesuai dengan gandingan saya di televisyen nanti.
“Tetapi sehingga kini saya sering ditawarkan menjadi heroin kepada
aktor-aktor muda dan berdasarkan kata pengarah, pihak stesen TV yang
mahukan saya. Nak tergelak pun ada, saya anggap semua ini rezeki buat
anak-anak,” katanya.
Rita ditemui selepas majlis pelancaran produk Rudaini Beaute di Hotel Royal Chulan di sini pada Ahad.
Majlis tersebut disempurnakan oleh isteri kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man iaitu Datin Seri Nor Aswana Omar.
Dalam pada itu, Rita yang baru saja selesai penggambaran drama Satu
Hari bersama Remy Ishak memberitahu, dia turut bersyukur kerana masih
lagi diberi peluang menjadi heroin di mana tidak semua pelakon wanita
seusianya masih berpeluang memegang watak utama itu.
“Apa-apapun, saya hanya menerima tawaran lakonan sekiranya pelakon
lelaki itu pernah bergandingan dengan saya. Kalau tidak, susah untuk
saya mendapatkan keserasian.
“Malah saya akan menolak dengan baik jika ada penerbit yang mahu saya
bergandingan dengan aktor berwajah ‘jambu’. Rasa macam dah tak sesuai
sangat dah tu,” selorohnya.
Sementara itu, mengenai Rudaini Beaute, rangkaian produk tersebut
terdiri daripada set penjagaan kesihatan dalaman iaitu Luv My Coffee
serta set kecantikan Rudaini Beaute Skincare dan Angel Mask.
Rudaini Beaute memasarkan produk-produk menerusi kaedah pemasaran
secara talian menggunakan laman sosial Instagram rasmi iaitu
@b_fabulousgalleria dan @luvmycoffee_rr selain stokis yang dilantik
secara sah bermula 1 Disember 2014.
Untuk sebarang keterangan lanjut, hubungi Cik Ala (019-2636501) dan Wawa (012-4808727). - mStar