KUALA LUMPUR – Sebanyak 838,510 saman tertunggak belum dijelaskan
oleh pemandu warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya di
negara ini bagi tempoh 2000 hingga 2013.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Superitendan Asisten Komisioner Mohd
Fuad Abd Latiff, berkata kebanyakan saman tertunggak itu membabitkan
pemandu warga Singapura.
“Jumlah tertunggak bagi pemandu warga Singapura adalah 313,661 iaitu
37.4 peratus diikuti Brunei (48,179), Thailand (17,654), Indonesia
(2,614) dan lain-lain (456,402),” katanya kepada pemberita di sini, hari
ini.
Beliau berkata, bagi mengesan kesemua pesalah trafik yang gagal
membayar saman ini, pihaknya sedang dalam perancangan untuk menjalankan
kerjasama dengan Jabatan Imigresen serta mengadakan sekatan di
pintu-pintu masuk negara untuk menjejaki individu berkenaan bagi
menyelesaikan saman tertunggak.
“Polis meminta agar pemandu warga asing tidak kira dari Singapura,
Brunei mahupun Thailand, yang ingin masuk semula ke negara Malaysia
supaya segera menyelesaikan saman terbabit sebelum dikenakan tindakan
lanjut. Tolong hormati undang-undang kita.
“Pemandu warga asing juga boleh membayar saman tertunggak melalui
www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my dengan menggunakan kad kredit,”
katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Fuad berkata bagi tempoh 2011 sehingga
November lalu, sebanyak 42,864 saman dikeluarkan bagi kesalahan memotong
atau menggunakan lorong kecemasan.
“Sepanjang Ops Selamat 5 yang lalu juga, sejumlah 2,529 saman
dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya seluruh negara atas kesalahan
memotong Q dan memotong garisan berkembar,” katanya.
Katanya, dalam usaha melaksanakan penguatkuasaan peraturan dan
undang-undang lalu lintas, pihaknya menerima 55 unit kamera ‘trucam’
yang diedarkan kepada semua kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan
Zon Peronda Lebuh Raya.
Mohd Fuad turut menyampaikan sijil kepujian kepada dua anggotanya,
Lans Koperal Mohd Syazwan Zulkapli dan Lans Koperal Mohd Farid Amran
kerana memberi contoh terbaik dalam usaha memerangi jenayah rasuah.
“Kedua-dua mereka menangkap pemandu yang cuba memberi rasuah sebanyak
RM800 beberapa bulan yang lalu dan pemandu tersebut dihadapkan ke
Mahkamah Taiping pada 2 Disember lalu.
“Cawangan trafik kini sedang memerangi jenayah rasuah di semua
peringkat pegawai atau anggota dan pegawai awam cawangan trafik. Sesiapa
cuba menyogok rasuah akan diambil tindakan tegas mengikut peruntukan
undang-undang,” katanya.
Mohd Fuad berkata, ia selaras dengan usaha dan komitmen pucuk
pimpinan PDRM dalam memerangi rasuah melalui Kempen Tolak Rasuah yang
dilancarkan pada 24 Julai lalu.
“Aduan integriti boleh dibuat dengan menghubungi talian bebas tol
iSPAA, 1800-880-222 atau hadir mana-mana balai polis berdekatan dan
aduan perlu mengandungi maklumat mencukupi untuk menjalankan siasatan,”
katanya. – BERNAMA