Penghantar SMS, MMS Lucah Terima Padah!


CYBERJAYA – Seorang lelaki yang berumur, 42 tahun, telah mengaku bersalah di atas pertuduhan menghantar SMS dan MMS lucah kepada Nor Fadilah binti Yusoff, 27 tahun. Mohd Azlan bin Ibrahim telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah (1) Johor Bahru pada 7 Disember 2014.

Mohd Azlan mengaku bersalah di atas pertuduhan ke atasnya dan telah dijatuhkan hukuman denda RM3,000. Dia juga boleh dipenjara selama 1 bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan siasatan terhadap lelaki yang telah menghantar SMS dan MMS lucah berupa gambar kemaluan lelaki kepada nombor telefon milik mangsa, Nor Fadilah pada 18 Disember 2012.

Menghantar gambar lucah melalui telefon bimbit merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya, boleh dikenakan. – BERNAMA