Peniaga Disaran Jelas Pembayaran, Elak Disenarai Hitam

ALOR SETAR - Peniaga dan penjaja kecil yang menggunakan kemudahan Skim Pinjaman Bazar Ramadan diminta membuat bayaran semula sebelum disenarai hitam oleh institusi kewangan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, ia perlu untuk menampung keperluan mereka pada masa akan datang terutama peniaga baharu yang memerlukan modal.

"Ramai peniaga culas membuat bayaran semula dan ini beri kesan kepada mereka jika ingin mendapatkan pinjaman semula selepas ini.

“Kerajaan akan beri kemudahan lain untuk bantu peniaga kecil dengan syarat mereka mesti ada rekod bayaran balik yang bersih,” katanya selepas menyampaikan sumbangan pakaian sekolah anjuran Persatuan Peniaga dan Peniaga Kecil Melayu Cawangan Kota Setar, di sini, semalam.

Menurutnya, peniaga perlu bertanggungjawab memastikan pinjaman dibayar mengikut jadual.

“Kalau bayaran balik cantik, kita boleh meningkatkan pinjaman dari RM3,000 kepada RM5,000 seperti dicadangkan.

“Mana-mana peniaga menghadapi masalah untuk bayaran balik dalam tempoh ditetapkan boleh bincang dengan bank,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah cawangan Kota Setar, Mohd Kholib Hamid berkata, kebanyakan peniaga masih mempunyai pendapatan tidak tetap sekali gus memerlukan bantuan kewangan kerajaan untuk meneruskan perniagaan masing-masing.

Beliau berkata, pinjaman RM3,000 yang diberikan sebelum ini terlalu kecil berikutan harga barangan semakin meningkat.

“Kita minta KPDNKK naikkan pinjaman sehingga RM5,000,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menimbangkan cadangan supaya peniaga pakaian yang terlibat dalam bazar Ramadan turut diberi bantuan pinjaman skim itu.

“Bukan peniaga makanan dan minuman sahaja yang berniaga di bazar Ramadan tetapi peniaga pakaian pun ramai dan memerlukan modal,” katanya.

Jun lalu, media melaporkan, KPDNKK menyediakan RM45 juta melalui Skim Pinjaman Bazar Ramadan 2014 untuk menyediakan pinjaman kepada penjaja dan peniaga kecil yang ingin berniaga pada bulan puasa.

Skim itu membolehkan peniaga membuat pinjaman tanpa faedah sebanyak RM3,000 sebagai modal perniagaan. -Bernama