KUALA LUMPUR – Konsep ‘peremajaan’ yang ditekankan dalam Perhimpunan
Agung UMNO perlu turut diterapkan dalam kalangan penjawat awam bagi
memberi impak positif terhadap gerak kerja mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim,
berkata konsep itu seharusnya turut diamalkan di peringkat anggota
pelaksana dan bukan sekadar di peringkat pembuat dasar.
“Contohnya seorang renjer hutan berpangkat rendah. Dia ialah pegawai
yang buat siasatan, masuk hutan dan sebagainya, tetapi selepas dia
berumur dia mungkin tidak mampu lagi membuat kerja-kerja ketika umurnya
masih muda.
“Jadi peremajaan itu mestilah diterapkan dalam kalangan anggota pelaksana,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas hasrat UMNO seperti yang dinyatakan Presidennya,
Datuk Seri Najib Razak yang juga Perdana Menteri untuk melahirkan satu
saf barisan generasi atau “Jil UMNO’ yang merupakan pewaris kepimpinan
parti di masa depan.
Mengulas pengekalan Akta Hasutan, Shahidan mempersoal pihak yang
mempertikaikannya walaupun ia bertujuan menjaga keharmonian negara.
“Kenapa orang sibuk persoalkan akta ini. Ia untuk selamatkan negara,
orang yang tentang Akta Hasutan maksudnya menentang negara,” katanya.
Beliau menambah akta itu penting dalam memastikan keharmonian kaum dan keamanan terus terpelihara. – BERNAMA