SEREMBAN – Penjawat awam wanita akan dibenarkan cuti tanpa gaji
sehingga lima tahun untuk menjaga anak angkat atau anak tiri mereka
dibawah satu peraturan yang berkuat kuasa bermula 1 Januari depan.
“Peraturan baharu itu adalah untuk memberikan lebih waktu ibu bersama
anak walaupun mereka bukan ibu kandung kanak-kanak itu,” kata Ketua
Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zabidi Zainal.
Beliau berkata mereka yang menjaga kanak-kanak tersebut secara
berterusan selama dua tahun, yang disebut sebagai ‘de facto’ juga layak
memohon cuti tanpa gaji selama lima tahun yang boleh diambil secara
berterusan atau sebahagian antara anak pertama dan anak-anak yang lain.
Manfaat tersebut, sebelum ini, hanya diberikan kepada mereka yang
melahirkan anak dan berhasrat memberikan penjagaan yang lebih baik untuk
bayi mereka termasuk penyusuan badan.
Di bawah peraturan yang diperkenalkan pada 2007, ibu kandung
dibenarkan untuk mengambil cuti tanpa gaji selepas menamatkan cuti
bersalin dengan gaji selama 90 hari.
Mereka yang mengambil anak angkat atau menjaga kanak-kanak lain sepenuh masa tidak layak menerima manfaat itu.
Mohamad Zabidi berkata tanpa mengira bilangan anak yang perlu mereka
jaga, manfaat tersebut tidak akan dilanjutkan melebihi lima tahun bagi
golongan tersebut.
Ini bermaksud, sekiranya kakitangan mengambil cuti tanpa gaji selama
lima tahun secara berterusan untuk anak pertama, dia tidak lagi mendapat
manfaat ini untuk anak-anaknya yang lain.
Sekiranya ibu memilih untuk hanya menggunakan tempoh dua tahun
daripada lima tahun yang diberikan untuk anak pertamanya, wanita
tersebut mempunyai baki tiga tahun lagi untuk digunakan terhadap
anak-anak yang lain pada masa hadapan.
“Tempoh yang digunakan oleh mereka untuk cuti tanpa gaji tidak akan
diambil kira apabila kami mengira faedah persaraan mereka,” kata Mohamad
Zabidi.
Namun, beliau mengingatkan bahawa mereka yang memohon untuk mendapatkan cuti tanpa gaji mungkin kehilangan senioriti mereka.
Katanya, jika mereka memenuhi kriteria yang sepatutnya, mereka masih boleh dipertimbangkan untuk dinaikkan pangkat.
Mohamad Zabidi berkata ketua jabatan diberi kuasa untuk memanggil mana-mana pekerja yang sedang bercuti tanpa gaji.
“Jika keadaan terdesak, mana-mana pekerja boleh diminta untuk kembali bekerja,” katanya. – mStar