KUALA LUMPUR – Menjadi tukang urut, menyanyi di kaki lima, menganyam
bakul atau menjual tisu merupakan aktiviti mencari rezeki yang sudah
sinonim dengan golongan cacat penglihatan di negara kita.
Namun begitu, hasil pemerhatian mStar Online selama beberapa minggu
telah mendapati, dalam semua aktiviti tersebut, menjual tisu merupakan
yang ‘paling lumayan’ dan paling mudah memperolehi wang.
Ia telah mendatangkan hasil yang besar sehinggakan mereka bukan
sahaja mampu mengupah pengiring yang celik malah mampu menggaji pemandu.
mStar mendapati, kebanyakan orang buta yang memilih menjalankan
aktiviti ini mampu memperoleh pendapatan bersih lebih RM2,500 sebulan
sedangkan lain-lain pekerjaan golongan cacat penglihatan seperti tukang
urut, penjual kerepek atau bakul mahupun mereka yang menyanyi di kaki
lima sekitar RM1,500 hingga RM1,800 sebulan.
Malah jika penjual tisu ini rajin menjalankan aktiviti mereka
sehingga ke luar ibu kota, pendapatan bulanan adalah lebih dari itu.
Angka itu belum lagi diambil kira bantuan yang diperolehi secara
bulanan dan tetap daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat iaitu sekitar
RM150 hingga RM300.
Seperkara lagi yang menarik ialah, hasil pemerhatian ini, mStar turut
mengenali beberapa istilah yang digunapakai di kalangan masyarakat
golongan cacat penglihatan itu sendiri bagi menggambarkan aktiviti
mencari rezeki atau pekerjaan masing-masing.
Bagi aktiviti menjual tisu, gelarannya agak pelik, iaitu ‘menangkap’
manakala bagi pengiring mereka yang celik, ia dipanggil ‘penarik’.
Istilah lain yang wujud termasuklah ‘mengetin’ (menyanyi di kaki
lima), ‘menangguk’ (seorang diri jual tisu atau kacang) dan ‘Halo
Cik’(jual kerepek).
Bahagi Tiga
Percaya atau tidak, dalam semua pekerjaan yang biasa dibuat oleh
orang buta, kerja ‘menangkap’ adalah yang paling senang dan mendapat
hasil ‘kencang’.
“Orang buta tak boleh ‘menangkap’ seorang diri, jadi mereka upah ‘penarik’.
“Kumpulan ini adalah yang paling banyak memperolehi pendapatan di
kalangan semua aktiviti golongan cacat penglihatan malah mengatasi
jumlah pendapatan tukang urut. Mereka mampu bayar penarik dan ramai juga
sekarang yang sudah mula mengupah pemandu untuk bergerak lebih jauh
atau ‘out-station’,” dedah seorang daripada mereka yang hanya mahu
dikenali sebagai Mazlan, kepada mStar Online.
Mazlan yang bekerja sendiri di ibu kota berkata, kerja ‘menangkap’
yang dibawa oleh seorang pemandu khas biasanya dilakukan dua kali
sehari.
Si penjual tisu yang buta tidak perlu bimbang ditipu oleh penarik
yang biasanya warga Indonesia atau pun pemandu kerana masing-masing
telah bersetuju untuk mengagihkan ‘hasil tangkapan’ secara sama rata.
“Kalau dapat RM300 sekali keluar, duit itu akan dibahagi tiga iaitu untuk penjual, pengiring dan pemandu,” katanya lagi.
Mazlan menambah, perkara itu diketahui daripada rakan-rakannya yang
kebanyakannya menjalankan aktiviti tersebut dan tanpa segan-silu
bercerita mengenai pendapatan ‘mewah’ mereka dengan mudah.
Tambahnya, selain mempunyai ‘pemandu’, hasil lumayan mereka juga
biasanya diterjemah melalui gaya hidup yang lebih senang, termasuklah
telefon bimbit pintar.
Bercerita lebih lanjut mengenai pemandu yang diupah, Mazlan berkata
kebanyakan mereka dipertanggungjawabkan untuk membawa si penjual tisu
dan pengiring ke lokasi-lokasi tertentu yang dianggap sebagai ‘lubuk
emas’.
Di ibu kota, kawasan yang sering menjadi tumpuan mereka ialah Bangsar, Bukit Bintang, Chow Kit, Danau Kota dan Kampung Baru.
Kawasan-kawasan ini mempunyai kawasan tumpuan gerai makan dan medan selera yang popular dan banyak.
Mengembangkan Empayar ‘Menangkap’
Namun, katanya sejak akhir-akhir ini ramai pemandu diminta supaya
mengembangkan kawasan tangkapan oleh si penjual tisu yang bertindak
sebagai bos mereka dalam memilih lokasi untuk menjual tisu.
“Mereka kini meminta pemandu membawa mereka pergi ‘menangkap’ di luar Kuala Lumpur seperti ke Johor, Negeri Sembilan atau Kedah.
“Persaingan di luar Kuala Lumpur adalah kurang dan masyarakat lebih
bermurah hati untuk ‘membeli’ tisu dan bersedekah berbanding orang di
sini yang semakin berkira-kira untuk bersedekah kerana saban hari
diganggu oleh penjual tisu,” katanya lagi.
Sementara itu, Pak Ali (bukan nama sebenar) yang menjadikan kerja
membawa orang buta pergi menangkap sebagai kerja sambilan sejak tahun
lepas mengakui bayaran yang diterimanya mampu menampung kos sara hidup
keluarga.
Kata Pak Ali, dia tidak mempunyai jadual tetap untuk pekerjaannya
itu, sebaliknya hanya menunggu panggilan telefon oleh mana-mana orang
buta yang mahu mendapatkan khidmatnya.
Jelas Pak Ali lagi, walaupun ramai yang keluar menangkap hampir
setiap hari, namun mereka tidak menggunakan khidmat pemandu pada setiap
masa.
“Kalau menangkap tempat yang dekat-dekat mereka naik LRT atau teksi sahaja, lebih murah kosnya.Tapi kalau mereka mahu pergi jauh, mereka akan telefon saya dan minta saya menjemput dan menghantar mereka ke lokasi tertentu,” ujarnya.
Pak Ali menambah, kebiasaannya dia dibayar antara RM60 hingga RM150
setiap kali membawa orang buta ‘menangkap’ dan pengiraan akan dilakukan
bersama-sama dalam kereta selepas selesai aktiviti ‘menangkap’.
“Selama saya buat kerja ini belum pernah timbul masalah tentang
bayaran. Pernah juga saya terfikir mereka (penarik dan orang buta)
mungkin berpakat tipu saya tapi saya rasa perkara itu tak berlaku. Saya
percaya mereka,” tegas Pak Ali yang memandu Proton Iswara.
Jelas Pak Ali, ada juga orang buta yang meminta dia sendiri yang mengira hasil yang diperolehi mereka.
Dalam pada itu, Pak Ali turut mengakui ada rakan-rakannya yang
membawa orang buta pergi ‘menangkap’ di luar Selangor dan Kuala Lumpur.
Malah, dia sendiri pernah ditawarkan oleh orang buta untuk pergi ke Johor dan Melaka.
“Tetapi saya tolak sebab keadaan kereta saya yang tidak mengizinkan.
Setakat Kuala Lumpur dan Lembah Klang tak ada masalah nak bawa mereka,”
katanya.
Mengenai lokasi menangkap, Pak Ali berkata keputusan biasanya dibuat
melalui perbincangan bersama. Namun katanya, ada juga orang buta yang
menyerahkan keputusan memilih lokasi menangkap dibuat oleh pengiring
mereka.
Mengulas perkembangan terkini pekerjaannya yang sering berdampingan
dengan orang buta, Pak Ali berkata pada masa ini pemilihan lokasi
‘menangkap’ perlu dibuat dengan tepat bagi memastikan orang buta,
pengiring dan pemandu tidak pulang dengan tangan kosong.
“Kalau boleh mereka mahu elak daripada bertembung dengan rakan-rakan
lain yang menjalankan aktiviti yang sama. Kalau terlalu ramai orang jual
tisu di satu tempat atau restoran yang sama, sudah tentulah hasil
pendapatan kurang memuaskan. Sebab itu sekarang saya sering diajak pergi
jauh sedikit seperti ke Selayang, Gombak atau Ampang,” katanya. - mStar Online