Ibu kepada penyerang Tottenham Hotspur, Emmanuel Adebayor, kecewa
selepas anaknya sendiri menuduh dia mengamalkan ilmu hitam `Juju’
terhadap pemain bola itu.
Wanita berkenaan, Alice, 62, yang menetap di negara Afrika itu turut
menuduh Adebayor yang kini seorang jutawan, menghalaunya dari rumah
mereka.
Meskipun anaknya itu berpendapatan kira-kira RM900,000 seminggu,
namun selepas Adebayor menghalau ibunya itu, wanita berkenaan terpaksa
menyara hidup dengan menjual tomato.
Dia hanya mendapat pendapatan kira-kira RM5 sehari.
Adebayor dikatakan berbuat demikian kerana mendakwa keluarganya cuba
merancang untuk menguasai hartanya apabila dia meninggal dunia kelak dan
mereka menggunakan Juju bagi tujuan berkenaan.
Adebayor bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.
“Saya hanya seorang pemain bola, bagaimana saya boleh melihat sama
ada seseorang itu ahli sihir atau tidak. Saya tidak pernah menghalau ibu
saya, dia yang mengambil keputusan untuk berpindah.
“Tetapi sekarang bagaimana saya hendak berhubung dengan ibu saya jika
dia sendiri menyatakan bahawa prestasi saya tidak akan meningkat,’’
katanya.
Adebayor juga memberitahu dia telah memberikan wang kepada ibunya dan
enam adik beradiknya yang lain untuk memastikan mereka menjaga ibunya.
“Jika mereka mendakwa saya tidak menjaga ibu saya, bagaimana dengan
enam adik beradik yang lain, kenapa mereka tidak boleh melakukannya dan
bekerja,’’ katanya.
Adebayor pernah bermain untuk kelab bola sepak terbesar dunia termasuk Manchester City, Arsenal dan Real Madrid.