Peralihan #MAS OldCo - NewCo: Kontrak Sedia Ada Tidak Dipindah Pada Newco

KUALA LUMPUR - Dakwaan segelintir pihak yang mendakwa semua kontrak sedia ada di Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) akan dipindah kepada syarikat yang baharu (NewCo) adalah tidak benar sama sekali.

Dua Ahli Parlimen tampil menjelaskan bahawa kontrak-kontrak berkenaan tidak akan dipindahkan pada NewCo yang akan beroperasi pada 1 Julai tahun depan sebagaimana yang tertera di dalam Akta MAS yang baharu diluluskan dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Memetik Bernama, Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Manap, menegaskan bahawa laporan pihak-pihak tertentu yang mendakwa kononnya kontrak terbabit akan dipindahkan adalah tidak benar sama sekali.

"Saya berada dalam Dewan Rakyat apabila Rang Undang-Undang MAS dibahaskan minggu lalu dan ada dakwaan yang kontrak sedia ada akan dipindahkan secara terus kepada NewCo pada terma yang sama," kata Anuar, hairan tentang dakwaan tidak wajar yang seolah sengaja ditimbulkan bagi mengelirukan rakyat.

Kata Anuar, Akta MAS yang dibentang pada sesi sidang Parlimen tempohari jelas menunjukkan MAS mahu menutup bab lama dan meninggalkan budaya lama atau sebarang amalan tidak sihat pada masa lalu.

Tegasnya lagi,  NewCo dilihat akan bermula dengan rekod bersih dengan kontrak baharu dan terma yang positif.

Khazanah Nasional Bhd, yang memiliki hampir 70 peratus MAS, kini memulakan penstrukturan semula besar-besaran bagi memulihkan syarikat penerbangan nasional itu yang rugi.

Minggu lalu, cabang pelaburan kerajaan itu mengumumkan telah membuat kajian semula menyeluruh ke atas kira-kira 5,000 kontrak dan keutamaan bakal diberikan kepada kontrak yang berpotensi memberi peluang besar untuk pengurangan kos dan peningkatan kecekapan.

Rundingan semula kontrak yang begitu banyak akan mengambil masa panjang dan Akta MAS yang diluluskan Dewan Rakyat akan memastikan pembekal perkhidmatan sedia ada kepada syarikat penerbangan itu akan terus berbuat demikian tanpa gangguan.

Memberikan contoh, Anuar berkata, kontrak berkaitan pembersihan pesawat sedang dirunding semula dan jika kontraktor itu enggan membersihkan pesawat semasa tempoh peralihan, ini sudah tentu mengganggu operasi penerbangan.

"Dalam lain perkataan, disebabkan kontrak masih sah, Akta MAS itu sama seperti 'memaksa' pembekal melanjutkan perkhidmatan yang sama kepada MAB bagi memastikan operasi harian tidak terganggu walaupun pada terma lama, tetapi ini hanya untuk tempoh sementara," jelasnya.

Selain itu, Anuar menjelaskan bahawa akta berkenaan adalah untuk kepentingan operasi MAS supaya kontraktor sedia ada bekerjasama sepenuhnya dengan syarikat penerbangan itu bagi mempercepatkan rundingan semula dalam usaha mencapai keputusan 'menang-menang'.

Mengenai Dasar Langit Terbuka ASEAN yang akan dilaksana pada 2015 dan pelbagai syarikat penerbangan di rantau ini dijangka terbang ke Malaysia tanpa halangan, kontraktor sedia ada MAS boleh menambah nilai dengan menawarkan perkhidmatan mereka kepada syarikat penerbangan lain berdasarkan terma amalan terbaik.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari pula berkata, pembekal MAS sedia ada perlu mengambil pendirian proaktif tanpa menunggu syarikat penerbangan itu menjemput mereka untuk merunding semula kontrak mereka berikutan tempoh peralihan yang terhad.

"Apa salahnya mereka sendiri membuat tawaran dan butiran baharu untuk dipertimbangkan MAS.
"Kita sebenarnya tidak mempunyai banyak masa dengan hanya kira-kira lapan bulan untuk MAB memulakan operasi," katanya.

Ahli Parlimen itu berkata, Akta MAS adalah bahagian penting dalam undang-undang disebabkan pemindahan syarikat penerbangan negara daripada syarikat lama kepada syarikat baharu perlu dilakukan secara teratur bagi mengelak gangguan kepada operasi hariannya.

"Saya ingin menjelaskan kenyataan oleh pihak tertentu yang mendakwa ada beberapa fasal bercanggah dalam Akta berkenaan ketika tempoh sementara daripada entiti lama kepada entiti baharu.

"Apa yang berlaku ialah kuasa Pentadbir yang dilantik hanya digunakan untuk menguruskan MAS lama.

"Pentadbir itu diberi kuasa untuk 'memaksa' pembekal melanjutkan perkhidmatan mereka kepada MAS baharu bertujuan memastikan tiada ganggguan perkhidmatan harian.

"Jika MAS baharu sudah mempunyai kontraktor baharu, tiada keperluan lagi untuk meneruskan dengan kontraktor lama," katanya menafikan dakwaan pihak-pihak yang mungkin tersalah faham berkenaan Akta MAS berkenaan.

Ahmad Fauzi berkata, Ahli Parlimen tidak akan sewenang-wenang meluluskan Akta MAS itu tanpa sebarang perubahan dalam kontrak sedia ada, atau tanpa sebarang pengurangan dalam penilaian kontrak sebagaimana didakwa dalam laporan akhbar tertentu. - KedahNews.com