Perihal "Pakaian Dalam" Buat Mangsa Banjir Cetus Rasa Terkilan...

Ini adalah perihal tentang bantuan banjir yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia kepada mangsa-mangsa yang terlibat dengan musibah banjir di seluruh negara.

Difahamkan saudara-saudara kita yang terlibat banjir sangat bersyukur dengan bantuan dan barangan yang hulurkan untuk mereka oleh pelbagai pihak dari seluruh negara. Alhamdulillah.

Cuma yang "tidak sedap"nya, dikatakan timbul sedikit rasa terkilan di kalangan mangsa-mangsa banjir apabila mereka turut menerima sumbangan berbentuk pakaian dalam terpakai dan dianggap sangat memalukan.

Bayangkan, jika kita terlalu memerlukan bantuan pakaian, tiba-tiba kita dibantu dengan pakaian yang berlubang koyak di sana-sini, bahkan ada yang sudah berbau semacam! 

Sanggup? Hina sangatkah kita hingga diperlakukan sedemikian rupa?

Bukanlah berdosa sumbangkan pakaian dalam. Cuma, berilah yang baru. Berikan pakaian dalam murah yang dibeli dari pasar malam pun tidak mengapa asalkan ia baru dan belum dipakai.

Islam sememangnya menganjurkan umatnya supaya saling bantu-membantu dan tolong-menolong antara satu sama lain, khususnya di kalangan umat Islam yang ditimpa bencana seumpama banjir dan sebagainya.

Lebih holistik lagi, bantuan yang dihulurkan itu perlulah diberikan seikhlas hati atas bukan keterpaksaan dan bukan "nak tunjuk baik" di depan orang lain.

Justeru itu, Islam menyarankan supaya kita menderma atau memberi bantuan sebaik mungkin kepada mangsa atau mereka yang ditimpa musibah.

Misalnya, jika mahu memberi sedekah buah-buahan, janganlah diberikan buah-buah yang sudah busuk, telah dimakan ulat atau rosak. Sebaliknya, Islam mengajar umatnya supaya memberikan buah yang elok sifatnya dan kalau boleh disedekahkan dalam keadaan terbaik.

Jadi, mengapa pula kini timbul soal "seluar dalam", "baju dalam" dan barangan peribadi yang layaknya menjadi "sampah" yang "sayang" hendak dibuang, tapi disedekahkan kepada mangsa-mangsa banjir?

Tidak bolehkah kita memberi seikhlas hati dan menyedekahkan barangan terbaik yang kita miliki untuk saudara seagama kita yang ditimpa musibah di sana?

Kedahnews.com menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam supaya membantu mangsa-mangsa banjir mengikut kaedah dan akhlak yang dianjurkan Islam.

Di sebalik simpati yang kita hulurkan, insyaAllah segala kebaikan dari bantuan-bantuan yang dihulurkan itu akan menjadi "saham" berharga untuk kita di akhirat kelak. Wallahu'alam. -Kedahnews.com