GEORGETOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang menyangkal khabar angin
kononnya nama jalan Persiaran Gurney, di sini akan ditukar kepada
Persiaran Chin Peng mulai 1 Januari depan sebagai mengenang sumbangan
pemimpin Parti Komunis Malaya itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan
Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow menyifatkan khabar angin itu sebagai
tidak masuk akal.
“Perkara ini tidak benar sama sekali,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ketua Pemuda Umno
Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim, yang mahukan penjelasan kerajaan negeri
tentang khabar angin kononnya Persiaran Gurney akan ditukar nama
berkuat kuasa 1 Januari sebagai mengenang sumbangan Chin Peng dalam
memperjuangkan kemerdekaan negara.
Rafizal dalam sidang akhbar hari ini berkata pihaknya mendapat
maklumat itu menerusi sumber dalam pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang
Lim Guan Eng, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan sumber berkenaan.
“Kami tidak pasti dengan khabar angin berkenaan dan sebab itu
Pemuda Umno Pulau Pinang mahukan penjelasan daripada kerajaan negeri
kerana perkara berkenaan telah tersebar dalam aplikasi telefon pintar
WhatsApp hari ini,” katanya.
Rafizal berkata jika dakwaan itu benar, Pemuda Umno akan membantah
dan mempertahankan agar tidak berlaku pertukaran nama berkenaan kerana
Chin Peng bukan pejuang kemerdekaan negara.
“Kami akan bantah sekeras-kerasnya jika perkara itu diteruskan,” katanya. – BERNAMA