Pertahanan Mantap Gagah Lindungi Kedaulatan Negara Sepanjang 2014 #PDRM #ATM

Kesiapsiagaan anggota keselamatan dan pertahanan negara sepanjang 2014 tetap utuh dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

Sepanjang tahun 2014, negara terus diduga dengan pelbagai cabaran melibatkan kes penculikan dan pencerobohan yang menguji integriti serta pengorbanan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Beberapa insiden penculikan di Sabah membabitkan pengganas asing memaksa kerajaan melaksanakan sembilan fasa perintah berkurung di kawasan perairan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) bermula 19 Julai hingga 8 Dis lepas.

Pasukan pertahanan negara terus diperkukuhkan menerusi pemilikan aset baharu dalam memantapkan lagi pertahanan dan kedaulatan negara.

Empat unit Eurocopter EC725 bagi menggantikan 28 helikopter Nuri yang digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 1968, antara 12 helikopter Eurocopter EC725 bernilai RM1.6 bilion yang diterima 3 Jun lepas.

Eurocopter EC725
Selain itu, tiga buah kapal peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia tiba di jeti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu pada 12 Nov lepas.

TUDM pula pada 24 Nov menerima secara berperingkat sembilan pesawat baharu, bermula suku pertama tahun depan dan dijangka selesai pada tahun 2016 melibatkan empat pesawat pengangkut jenis Airbus A400M dan lima pesawat pelatih PC-7 MK II.

Di persada antarabangsa, Malaysia terus melaksanakan peranan penting dalam misi keselamatan.

Paling membanggakan adalah apabila Malaysia memenangi Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dengan memperoleh 187 daripada 192 jumlah undi pada 16 Okt lepas.

Dari segi tugas anggota keselamatan pula, sejumlah 844 anggota pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) yang menjalankan misi Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) pada 1 Okt lepas, dianugerahi pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB).

Pada 4 Sept, sejumlah 213 anggota Kumpulan Pertama Malaysian Battalion 850-2 (Malbatt 850-2) berlepas ke Lubnan bagi menjalankan misi Unifil selama 12 bulan.

Mengenai episod kejayaan, antara yang dibanggakan adalah kejayaan Kapal TLDM KD Terengganu menyelamatkan kapal tangki minyak MT Ai Maru yang ditawan lanun di Selatan Pulau Aur, Mersing pada 15 Jun.

TLDM dari Markas Wilayah Laut 1 (Mawilla 1) pula berjaya mematahkan cubaan sekumpulan nelayan asing dari Vietnam yang cuba mencuri khazanah kapal perang British era Perang Dunia Kedua kira-kira 60 batu nautika dari Tanjung Gelang, Kuantan pada 28 Nov lepas.

Nelayan berkenaan dipercayai mencuri khazanah dari dua buah kapal yang tenggelam itu iaitu HMS Repulse dan HMS Prince Of Wales.

Dalam tugasan mengawal keselamatan negara, anggota pertahanan turut diuji dengan cabaran berdepan cuaca buruk dan lautan bergelora sehinggakan bot tempur CB204 TLDM hilang sebelum ditemui 24 jam kemudian pada 6 Okt lepas. Kesemua tujuh anak kapalnya selamat.

Episod duka juga menghiasi sorotan kalendar pertahanan apabila dua anggota tentera maut manakala dua lagi parah apabila kereta perisai yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 232.6 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Kuala Kangsar, 3 Julai lepas.


Kemalangan turut menimpa enam anggota tentera -- dua daripadanya maut manakala empat lagi cedera ringan -- selepas kereta perisai Adnan yang dinaiki mereka terbalik di Jalan Sungai Tiram di Batu 19, Sandakan, pada 19 Ogos lepas.

Negara juga dikejutkan dengan kematian seorang anggota Malbatt 850-2, Koperal Azman Che Soh yang bertugas dalam misi Unifil di Lubnan, pada 6 Dis setelah tidak sedarkan diri secara tiba-tiba.

Selain itu, masyarakat juga gempar dengan penahanan seorang anggota TLDM oleh polis pada 13 Jun lepas kerana disyaki terlibat dengan kegiatan militan, sebelum dibebaskan tanpa syarat keesokannya.

Satu lagi kes yang menarik perhatian umum membabitkan bekas pembantu staf pertahanan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand yang ditahan polis New Zealand pada 9 Mei lepas dan dihadapkan di mahkamah pada hari sama atas tuduhan melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita berumur 21 dengan niat untuk merogol. - BERNAMA